Friday, November 09, 2007

Lebuh Raya KL-Putrajaya dibuka 1 Januari

PETALING JAYA 8 Nov. – Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya (KLP) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya akan dibuka 1 Januari depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, KLP bernilai RM1.4 bilion yang bermula dari Bulatan Kampung Pandan sehingga ke Putrajaya sepanjang 26 kilometer itu, mula dibina 6 Disember 2004 dan dijangka siap 5 Disember ini.

Pembinaan lebuh raya itu dijangka mengurangkan masalah kesesakan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban iaitu di kawasan Lapangan Terbang TUDM dengan pengguna boleh menggunakan laluan ini ke Cheras/MRR2 atau ke pusat bandar.

‘‘Lebuh raya ini dijangkakan menjadi laluan protokol Kuala Lumpur-Putrajaya apabila ia beroperasi kelak,’’ katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu sebuah program televisyen swasta bersempena Hari Deepavali di sini hari ini.

Mengenai isu kuil di Shah Alam, Samy Vellu berkata, ia telah diselesaikan selepas perbincangan dengan pihak berkenaan minggu lalu.

Beliau menasihatkan mereka yang bermuslihat tertentu jangan membangkitkan lagi isu tersebut semata-mata untuk menentang kerajaan kerana fakta sebenar mengenainya telah diperjelaskan.

No comments: