Oleh LUKMAN ISMAIL
MELAKA 8 Nov. – Dua pelajar Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di sini berjaya menghasilkan satu aplikasi permainan matematik untuk telefon mudah alih, dipercayai yang pertama seumpamanya di negara ini.
Mohamad Muaz Mohamed dan Hazmin Wardi, pelajar tahun empat kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Media Interaktif) telah menghasilkan permainan yang dinamakan ‘Kids Cashier’ (juruwang kanak-kanak).
Dekan FTMK, Profesor Dr. Mohd. Shahrin Shahib berkata, permainan tersebut berasaskan topik wang yang terdapat dalam kurikulum matematik peringkat sekolah rendah.
‘‘Melalui permainan ini, murid-murid dapat melengkapkan kemahiran mereka dalam operasi asas topik wang. Ia merupakan aplikasi hiburan permainan yang menarik dan menyeronokkan serta dapat dimainkan pada bila-bila masa, di mana sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dengan hasil ciptaan tersebut, kedua-dua pelajar itu telah memenangi tempat kedua pada Pertandingan Cabaran Kandungan Mudah Alih (MCC 2007) peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Juara pertandingan itu disandang oleh pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak dan meraih hadiah wang tunai sebanyak RM30,000.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Maxis bersama-sama Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Mohd. Shahrin berkata, di dalam aplikasi itu, pemain akan bermain menggunakan satu sen hingga RM100 dan permainan tersebut meliputi operasi asas tambah, tolak dan darab menggunakan wang.
Katanya, pemain akan bermain sebagai juruwang di kedai-kedai tersebut manakala tugas pemain adalah untuk memberikan baki yang betul kepada pelanggan dalam tempoh masa yang diberikan.
‘‘Pemain-pemain tidak akan mendapat soalan yang sama untuk diselesaikan kerana soalan-soalan dijana secara rawak untuk setiap kali cubaan yang dibuat oleh pemain.
‘‘Teknologi yang digunakan dalam permainan mudah-alih ini termasuk animasi dua dimensi dan teknik permainan pendidikan,” katanya.
Dalam membangunkan aplikasi tersebut, kedua-dua pelajar tersebut mendapat nasihat daripada pensyarah FTMK, Dr. Sazilah Salam.
No comments:
Post a Comment