|
|
KUALA LUMPUR 8 Nov. – Datin Seri Jeanne Abdullah hari ini mempamerkan teladan mulia selaku isteri Perdana Menteri apabila beliau turut menderma darah serta mendaftar sebagai penderma organ.
Beliau berbuat demikian di gerai Daftar Derma Organ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sempena berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2007.
Menurutnya, semua pihak perlu turut sama berbuat demikian bagi membantu pesakit yang memerlukan pemindahan organ.
‘‘Kita mesti fikir, jika kita sakit dan perlukan pemindahan organ, kita hendak harap pada siapa untuk tolong dermakan organ mereka.
‘‘Semua orang patut berjanji menderma organ. Anak-anak saya, Nadiah dan Nadine, pun akan mendaftar.
‘‘Saya sudah ambil borang pendaftaran untuk diberikan kepada mereka,’’ ujar Jeanne kepada pemberita.
Beliau terlebih dahulu mendaftar untuk menderma organ sebelum menderma darah.
Dalam hal ini, Jeanne menyeru orang ramai agar menderma darah kerana ia bukan sahaja dapat membantu pihak yang memerlukan, malahan mampu menjadikan seseorang itu kelihatan cantik dan sihat.
Aktiviti itu, katanya, boleh menjadikan seseorang awet muda dan beliau sendiri yang mempunyai darah jenis A positif telah banyak kali melakukannya.
‘‘Saya harap anda semua akan mencuba menderma darah,’’ ujarnya.
Ditanya sama ada beliau berasa lemah selepas menderma darah, Jeanne menafikannya. Katanya, beliau lebih berasa gementar bila bercakap dengan pemberita.
No comments:
Post a Comment