KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pihak mengikis tanggapan kononnya pelaksanaan koridor ekonomi wilayah akan memudaratkan orang Melayu, sebaliknya rancangan itu hendaklah dilihat sebagai gagasan besar selari dengan usaha melahirkan ‘towering Malays’.
Sambil menyifatkan tanggapan itu sebagai satu kalimah penghinaan terhadap keupayaan anak Melayu untuk bersaing di dunia global, Perdana Menteri menegaskan tafsiran sedemikian menampakkan perspektif yang sudah ketinggalan zaman.
“Mungkin pada zaman dulu, kita amat tertinggal di tanah air sendiri. Ramai anak Melayu ketika itu terpinggir, tetapi kini ramai anak Melayu berpendidikan tinggi.
“Sudah ramai anak Melayu menjadi doktor, peguam, akauntan, malah berjaya menjadi angkasawan, selain sudah muncul barisan usahawan dan pengurus Bumiputera yang berupaya mengendalikan urus niaga berdaya maju,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2007.
Dalam ucapan bertema ‘Memperkukuh Keyakinan – Meneroka Era Baru’ itu, Abdullah menjelaskan konsep pembangunan koridor ekonomi adalah pendekatan baru bertujuan menjana pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Pembangunan negara, katanya, akan bersifat tempang jika hanya tertumpu di bandar, hingga bandar menjadi tempat yang terlalu sesak, sedangkan kawasan desa kelihatan usang dan dimamah zaman.
“Dengan berpaksikan konsep wilayah, pembangunan koridor ekonomi akan menerokai potensi baru serta mempertingkatkan usaha untuk membasmi kemiskinan secara lebih berkesan.
“Yang lebih utama, setiap wilayah ekonomi akan dibangunkan dengan memanfaatkan keunikan dan keistimewaan yang ada pada mereka,” katanya sambil menambah pelaksanaannya akan menyaksikan pembabitan aktif sektor swasta.
Beliau memberi contoh, 70 peratus dari kawasan industri di kawasan utara tidak digunakan kerana gagal menarik penyertaan swasta.
Justeru itu, kerajaan sudah memastikan penyertaan langsung sektor swasta pada peringkat merangka serta pelaksanaan koridor ekonomi bagi memastikan pelaburan yang dibuat bersifat komersial dan mampu menjana pulangan setimpal serta membawa faedah pembangunan yang dijanjikan untuk rakyat.
Abdullah berkata, Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dijangka melonjakkan wilayah Selatan Johor sebagai nadi pembangunan yang pesat, dinamik dan disegani di seluruh rantau Asia dan dunia keseluruhannya.
Wilayah Ekonomi Koridor Utara yang meliputi Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak pula menekankan pembangunan pelbagai sektor bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat di wilayah terbabit dan membasmi kemiskinan.
Begitu juga dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kerajaan akan memastikan nikmat pembangunannya melimpah ke seluruh negara.
“Koridor ekonomi di Sabah dan Sarawak akan turut dibangunkan dengan mengambil kira keperluan serta hasrat pembangunan di negeri berkenaan,” katanya.
Inisiatif membangunkan koridor Pantai Timur, kata beliau, bukti jelas memperlihatkan keikhlasan kerajaan untuk membawa pembangunan ke seluruh negara dengan mengetepikan pegangan politik kepartian dan kerajaan Pas di Kelantan turut menyambut baik usaha itu.
“Falsafah di belakang pembangunan berkonsep koridor ekonomi ini adalah memastikan tidak ada mana-mana golongan warga tertinggal dalam arus pembangunan negara.
“Sektor ekonomi kurang maju dan kawasan yang ketinggalan akan dibangunkan secara pesat, tanpa mengetepikan sektor atau kawasan lain.
“Punca pendapatan tambahan dan pendapatan baru akan dijana, manakala sumber kekayaan baru diusahakan. Pembangunan koridor ekonomi ini apabila berjaya mengubah wajah dan rupa bentuk negara.
“Pembangunan tidak tertumpu di bandar besar saja, malah akan melebar ke seluruh ceruk rantau tanah air,” katanya.
Justeru, Perdana Menteri mahu pembangunan koridor ekonomi dilihat sebagai gagasan besar untuk melonjakkan setiap warga Malaysia, terutama anak Melayu ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan menggadaikan kepentingan warga Malaysia dan anak bangsa, manakala pelaburan yang akan ditarik dari serata dunia akan merancakkan lagi arena pembangunan ekonomi, yang limpahannya akan turut dirasai semua.
“Kita tetap akan memberikan bantuan dan galakan secukupnya supaya orang Melayu dapat bersaing dan membabitkan diri dalam koridor berkenaan,” katanya sambil menjelaskan pembangunan koridor ekonomi juga bukan hanya untuk orang Melayu, tetapi untuk semua rakyat.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment