WAKIL rakyat diwajib mengutamakan agenda kemiskinan dan kejayaan membasmi kemiskinan di kawasan masing-masing akan dijadikan salah satu petunjuk utama prestasi mereka, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, membasmi kemiskinan adalah salah satu matlamat utama Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tidak seharusnya terlepas pandang.
“Negara tidak akan tenteram jika bilangan rakyat miskin masih ramai. Kemiskinan boleh menjadi punca ketidakstabilan politik, demonstrasi jalanan, kadar jenayah yang tinggi dan masalah sosial yang besar,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2007.
Sehubungan itu, Abdullah berkata, program membasmi kemiskinan diberi tumpuan intensif dalam fasa kedua Rancangan Malaysia Kesembilan membabitkan semua warga tanpa mengira kaum atau agama.
Presiden Umno itu juga berkata, hari ini masyarakat berhadapan dengan beberapa kebimbangan, antaranya kejadian jenayah, hubungan antara agama dan kaum.
Sambil mengakui kejadian jenayah memang berlaku, beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, sebahagian kegiatan jenayah itu berpunca daripada penyakit dan gejala sosial selain disebabkan kebanjiran pekerja asing tanpa izin.
Katanya, laporan media mengenai kejadian jenayah pula bukan saja sudah meningkatkan kesedaran rakyat, malah cara penyampaian berita secara dramatik menggambarkan seolah-olah negara ini tidak lagi selamat.
Beliau berkata, kejadian jenayah yang tinggi dan kaedah laporan media mempengaruhi imej negara. Oleh itu, katanya, seruan kerajaan untuk mengaktifkan semula kegiatan Rukun Tetangga wajib disambut dalam usaha membantu meringankan tugas polis.
“Saya yakin, jika aktiviti rondaan di kawasan perumahan dapat diaktifkan semula, kadar jenayah pecah rumah dan kecurian akan dapat diturunkan dengan serta-merta,” katanya.
Abdullah mahu semua pihak memenuhi semangat DEB untuk memastikan komposisi kumpulan profesional dan pertengahan lebih seimbang dan masyarakat Malaysia tidak lagi berlandaskan kepada profesion.
Beliau juga berkata, bukan Melayu tidak perlu bimbang dengan semangat DEB yang masih diteruskan kerana ia tidak bertujuan merampas hak mana-mana warga Malaysia sebaliknya ia membasmi kemiskinan secara menyeluruh.
Kerana itu, meskipun sudah 37 tahun dilaksanakan, belum berlaku keadaan kerajaan merampas kekayaan daripada bukan Melayu untuk menjadikan Melayu kaya.
“Malah kekayaan bukan Melayu terus meningkat. Senarai warga terkaya di Malaysia didahului bukan Melayu. Hasrat memenuhi semangat Dasar Ekonomi Baru perlu didukung bersama,” katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment