Oleh Nor Aziah Jaafar
|
|
KUALA LUMPUR 8 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan merombak sistem pemberian pelbagai subsidi yang menyaksikan kerajaan menanggung perbelanjaan RM35 bilion setahun dan turut pula menguntungkan golongan kaya.
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pemberian subsidi yang meliputi komoditi seperti petrol, gas, pertanian, air dan elektrik pada masa ini adalah tidak adil kerana ia tidak sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan sehingga menggalakkan pembaziran.
Beliau menyarankan mekanisme baru dicari supaya pemberian subsidi menjadi lebih adil dan sampai kepada golongan yang disasarkan.
Ketika mengusulkan perkara itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 di sini hari ini, beliau berkata, jumlah subsidi RM35 bilion setahun itu jika digunakan untuk pembinaan projek mega boleh membina dua pusat pentadbiran Putrajaya, sembilan buah jambatan baru Pulau Pinang dan 500,000 unit rumah kos rendah.
“Projek mega paling besar sekarang yang (perlu) dilaksanakan oleh kerajaan adalah subsidi,” katanya ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan pada perhimpunan itu.
Khairy menegaskan, subsidi sepatutnya hanya diberikan kepada golongan miskin yang benar-benar memerlukan.
Sebaliknya, kata beliau, sistem pemberian yang diamalkan sekarang membolehkan golongan kaya turut menikmati faedah, contohnya subsidi minyak.
‘‘Bayangkan apabila kita pergi ke stesen minyak hendak isi petrol, kita lihat seorang pak cik naik motosikal bayar RM1.92 untuk seliter minyak, kemudian datang sebuah kereta Mercedes dan pemandunya juga membayar RM1.92 untuk seliter minyak.
‘‘Kenapa perlu bagi subsidi (minyak) kepada mereka yang kaya dan bawa kereta besar. Harga minyak terlalu murah (bagi mereka) dan ini menggalakkan pembaziran,” tegasnya.
Beliau yakin rombakan sistem pemberian subsidi yang memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerimanya tidak akan mengurangkan sokongan dan kasih rakyat terhadap UMNO yang merupakan tunjang kerajaan.
Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, kata beliau, golongan muda akan terpaksa menanggung beban kewangan tersebut pada masa akan datang.
‘‘Kalau mahu mansuhkan subsidi, ini memang tindakan bunuh diri, (oleh itu) saya cadangkan rombak sistem yang tidak adil ini supaya subsidi diberikan kepada rakyat miskin yang benar-benar memerlukan sahaja,’’ ujarnya.
Khairy turut mencadangkan jika kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak tahun depan, kerajaan perlu memberi notis lebih awal kepada rakyat agar mereka boleh membuat persediaan untuk mengurangkan beban perbelanjaan yang perlu ditanggung.
No comments:
Post a Comment