PERGERAKAN Wanita Umno mahu isu pemilikan premis perniagaan orang Melayu dijadikan isu nasional dan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Wakil Wanita Umno, Dr Azizah Johor, berkata kerajaan perlu menyemak semula RMK-9 untuk memasukkan revolusi pemilikan premis perniagaan Melayu.
Katanya, isu pemilikan premis perniagaan penting kerana jika tiada tempat berniaga sukar untuk orang Melayu menceburi bidang berkenaan.
"Setiap hari seinci demi seinci tanah di negara ini jatuh ke tangan orang bukan Melayu, tanah rizab Melayu pun dikuasai dengan sewa yang berpuluh tahun lama (seperti dijual) malah sepintu demi sepintu premis perniagaan juga dikuasai orang bukan Melayu sama ada di pekan, bandar dan luar bandar.
"Peratusan premis milik Melayu semakin berkurangan, malah di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, orang Melayu sudah lama tenggelam dalam soal pemilikan premis perniagaan," katanya.
Azizah mengakui ramai orang Melayu menjadi jutawan, namun mereka tidak memikirkan kelangsungan Umno.
"Kini, susah hendak melihat orang Melayu yang benar-benar mahu melihat orang Melayu lain berjaya dan mempunyai tapak dan premis perniagaan. Mereka ini tidak pun mahu melabur premis perniagaan bagi disewakan kepada orang Melayu untuk menjadi khazanah dan warisan bangsa.
"Rata-rata mahu untung cepat dan banyak, akhirnya premis di bandar dan luar bandar dikuasai bukan Melayu," katanya.
Beliau berkata, Umno perlu sedar bahawa untuk membina ekonomi orang Melayu dan menjadikan perniagaan sebagai budaya Melayu, syarat utamanya adalah penyediaan premis perniagaan.
Katanya, kegagalan menyediakan premis untuk orang Melayu, sukar perniagaan hendak dijalankan.
"Perniagaan atas angin, berniaga ali baba dan berniaga menjual kontrak pun tidak perlukan kedai. Mungkin ramai orang Melayu yang berniaga seperti ini sehingga mereka tidak kisah mengenai premis perniagaan, begitu juga kilang dan kawasan perindustrian.
"Ini bukan salah kerajaan dan pemerintahan tetapi salah orang Melayu sendiri dan perkara ini jangan dibiarkan berterusan. Kita tahu sebenarnya ramai orang Melayu yang ingin berniaga, tetapi takkan kita nak biarkan mereka merayu dengan melutut dan menyembah bukan Melayu untuk menyewa kedai," katanya.
Beliau berkata, dulu UDA membantu orang Melayu di bandar, termasuk memiliki premis perniagaan sendiri tetapi gagal kerana ketika itu orang Melayu tidak bersedia dari segi mental, kesedaran, budaya dan tidak berkemampuan.
"Orang Melayu tidak ubah seperti orang memakai kain pendek... tutup di atas terbuka di bawah, tutup di bawah terbuka di atas, di atas hodoh di bawah masya-Allah lagi hodoh," katanya mendapat sorakan daripada perwakilan.
Namun, katanya, masih ada orang Melayu yang berusaha dan meneroka perniagaan yang tidak menafikan jasa pemimpin dan negara.
"Golongan ini perlu dibantu oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Petronas, Tabung Haji dengan membeli premis perniagaan untuk disewakan kepada peniaga Melayu,” katanya.
"Perbadanan ekonomi negeri juga jangan berorientasikan keuntungan sebaliknya mengutamakan perjuangan bangsa dengan menyediakan premis perniagaan. Kita juga kena pujuk koperasi gergasi orang Melayu membeli kedai untuk disewa atau dijual balik kepada orang Melayu," katanya yang menyifatkan langkah itu sebagai jihad ekonomi.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment