KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, semalam mempamerkan teladan mulia apabila mendaftar sebagai penderma organ.
"Dua anak saya (Nadine dan Nadia) juga mendaftar untuk menderma organ, cuma belum menghantar borang lagi," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat terutama perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2007 supaya segera menyertai kempen menderma organ, darah dan melakukan pemeriksaan payu dara.
Beliau berkata, menderma darah juga boleh menjadi petua awet muda, selain menjamin kesihatan lebih baik.
Beliau yang memiliki darah jenis A positif, mengakui banyak kali menderma darah dan semalam Wanita Pertama itu turut menderma 350 mililiter darah sebagai tanda menyokong usaha murni Puteri Umno membantu golongan memerlukan.
Jeanne berharap dengan adanya kempen seperti anjuran Puteri Umno, akan memberi kesedaran kepada lebih ramai perwakilan untuk membantu golongan memerlukan.
Katanya, orang ramai perlu memikirkan kesusahan dan penderitaan ditanggung pesakit kronik yang memerlukan organ baru bagi meneruskan kehidupan lebih baik.
"Untuk menderma organ, kita perlu sentiasa berfikir... kalau kita sakit dan perlukan organ kepada siapa yang kita nak harapkan.
"Justeru, kita perlu memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya kita berada dalam keadaan seperti itu,” katanya.
Jeanne tiba di bilik promosi kesedaran kanser dan kesihatan, Dewan Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra jam 9.30 pagi diiringi Penasihat Kehormat Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Datuk Zuraidah Atan.
Mengulas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau berkata, suaminya sudah melakukan yang terbaik dalam menyampaikan mesej supaya difahami semua perwakilan.
"Datuk Seri sudah melakukan (ucapan) dengan cara yang paling ringkas dan padat mengenai apa yang ingin disampaikan.
“Beliau juga sudah meluahkan semua yang ingin dikatakan," katanya yang cukup gembira kerana dapat melihat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri berbahas mengenai perjuangan membantu orang Melayu.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment