BADAN Perhubungan Umno Negeri Sembilan mencadangkan penubuhan sebuah institut teknologi pertanian, khusus bagi membantu memajukan lagi masyarakat Melayu dalam sektor berkenaan.
Wakilnya, Datuk Hasim Rusdi, berkata ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai petani Melayu yang berkemahiran dan terlatih, sekali gus menjadi petani moden berjaya.
Pada masa sama, beliau meminta supaya fungsi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) seperti di Dusun Tua, Selangor dikaji semula bagi memastikannya selari dengan keperluan semasa.
Membahaskan usul ekonomi dan pendidikan, Hasim turut mendedahkan kira-kira 60 peratus pekebun kecil Melayu di negara ini masih dibelenggu kemiskinan biarpun Malaysia sudah merdeka selama 50 tahun.
"Keadaan ini tidak seharusnya dibiarkan berterusan dan kita mahu semua pihak terbabit termasuk ahli Umno pada semua peringkat dari akar umbi hingga pemimpin tertinggi melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya.
Hasim berkata, kebanyakan ibu bapa masyarakat Melayu kini kurang menggalakkan anak-anak mereka terbabit dalam pertanian seperti penanaman padi dan kelapa sawit kerana kerja itu dianggap kotor.
Sebaliknya, katanya, mereka menaruh harapan agar generasi pelapis ini belajar hingga ke peringkat tinggi dan kemudian mendapat pekerjaan lebih baik, termasuk bekerja di kilang.
"Perkembangan ini memberi banyak impak termasuk berlaku limpahan buruh asing dalam bidang pertanian. Tanpa disedari, warga Indonesia, India dan Bangladesh ini menerima banyak manfaat sehingga menimbulkan pertanyaan di mana silapnya masyarakat Melayu.
"Dalam konteks ini, kita minta semua pihak termasuk Umno menjalankan pemantauan dan penilaian bagi membolehkan langkah susulan dilakukan bagi mengatasi masalah ini segera," katanya.
Hasim turut meminta kerajaan melaksanakan segera resolusi yang diputuskan pada Konvensyen Pertanian Kebangsaan di Seremban akhir bulan lalu bagi mempercepatkan lagi proses mentransformasikan pembangunan pertanian masyarakat Melayu.
Menyentuh bidang pendidikan, Hasim meminta Kementerian Pelajaran menjadikan bidang alam sekitar sebagai mata pelajaran di sekolah berikutan keperluannya yang semakin penting ketika ini.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment