Friday, November 09, 2007

Jenazah anak Mustapha Kamal selamat dikebumi

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Jenazah anak pelakon Mustapha Kamal dan bekas isterinya, Yong Rahimah Johari, Ayuna, 15, yang terjatuh dari tingkat 13 Kondominium Danau Impian, Taman Desa di sini pada 22 Oktober lalu, selamat dikebumikan pagi ini.

Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Mukim Ampang Satu, Ampang Jaya di sini apabila jenazah Ayuna tiba dan kemudian diturunkan ke liang lahad pada kira-kira pada pukul 10.05 pagi ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyang dan dikapankan sebelum dibawa keluar dari Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menggunakan van jenazah kira-kira pada pukul 2.30 pagi ini.

Jenazah disembahyangkan sekali lagi di Masjid Bukit Indah, Ampang kira-kira pada pukul 9 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan dengan diiringi saudara-mara dan rakan artis.

Antara artis yang hadir menziarahi jenazah ialah pelakon Aznah Hamid, Aida Rahim, Elly Suriati dan Kasmadiana.

Sementara itu, Mustapha Kamal ketika ditemui sebaik sahaja selesai urusan pengkebumian anaknya itu berkata, beliau reda dengan pemergian anaknya itu setelah menjaga arwah sepanjang 18 hari dia dirawat di hospital.

‘‘Malah, kami sekeluarga berada di sisi arwah sehingga arwah menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya dalam nada sebak.

Beliau juga melahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada rakan-rakan artis kerana memberikan sokongan serta semangat sepanjang beliau menjaga anaknya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Perhubungan Awam Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Yahaya A. Hamid berkata, Allahyarham meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala.

‘‘Allahyarham meninggal dunia di wad unit rawatan rapi kardiotorasik PPUM pada pukul 10.22 malam semalam,’’ katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ayuna baru selesai menduduki peperiksaan Pernilaian Menengah Rendah (PMR) cedera teruk selepas terjatuh dari tingkat 13 kondominium berkenaan.

Allahyarham merupakan anak sulung daripada dua beradik hasil perkahwinan Mustapha dengan Yong Rahimah yang merupakan seorang penerbit.

No comments: