Friday, November 09, 2007

Syor institut khas kaji modal insan

KERAJAAN disaran menubuhkan institut khas untuk mengkaji, menyelidik dan menggubal pengisian Islam Hadhari dalam konteks pendidikan serta pembinaan modal insan negara.

Wakil Selangor, Lele Suzana Kudari, berkata hasil kajian boleh disalur untuk pelbagai peringkat termasuk kementerian dan pihak berkaitan pendidikan sebagai rujukan supaya penyediaan silibus, kaedah, kriteria dan prasarana menepati tuntutan Islam Hadhari.

“Saya mencadangkan status dan bidang kuasa institut itu bersamaan dengan Institut Integriti Malaysia (IIM)," katanya ketika membahaskan Usul Ekonomi dan Pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno.

Lele Suzana yang juga Ketua Wanita Umno Gombak, berkata, Umno Selangor juga mahu kerajaan menyediakan peluang pendidikan secukupnya kepada Melayu yang tercicir daripada arus pendidikan.

Beliau berkata, antara pendekatan ialah menyediakan peluang ketiga kepada mereka supaya terus diberikan peluang membina upaya, sekali gus tidak terpinggir daripada arus perdana dan terjerumus dalam kancah kemiskinan.

Katanya, Persidangan Meja Bulat Berkaitan Agenda Melayu dianjurkan Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM) mendedahkan 10 peratus atau 234,983 daripada 2.3 juta pelajar Tahun Satu tidak memasuki Tingkatan Satu.

Selain itu, 3.8 peratus atau 242,195 daripada 6.3 juta pelajar tingkatan satu tidak memasuki Tingkatan Lima. Sebanyak 28 peratus atau 122,195 daripada 437,896 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Lele Suzana juga mencadangkan Umno menyediakan inventori intelek bangsa Melayu, iaitu pangkalan data mengandungi butiran dan profil graduan institusi pengajian tinggi (IPT), golongan ikhtisas serta individu Melayu lain yang berpotensi besar dan ikon berkualiti untuk memenuhi konsep insan unggul.

“Mereka boleh dipupuk bagi mengisi peranan kritikal sektor korporat, perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya kesinambungan agenda Melayu tidak terjejas,” katanya.

Mengenai ekonomi, Lele Suzana mengusulkan kerajaan dapat memadankan cita rasa belia luar bandar dengan apa yang mahu dibawa menerusi pembangunan ekonomi di koridor pembangunan wilayah yang diwujudkan.

Katanya, ia penting supaya masalah penghijrahan ke bandar tidak terus berlaku sehingga menyebabkan matlamat membangunkan koridor itu tidak mencapai matlamat.

“Kita tidak mahu berlaku `mismatching' (salah padanan) antara cita rasa masyarakat yang mahu kita bantu dengan apa yang ingin kita bawa melalui pelan koridor itu kelak," katanya.

Beliau turut mengusulkan supaya usaha lebih bersepadu dan teratur dilaksanakan segera bagi membendung ketirisan agar peluang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dapat memberi impak maksimum kepada bangsa Melayu.

Beliau berkata, usaha memperkasakan Melayu dalam bidang pertanian juga mesti diteruskan dengan memberi keyakinan kepada mereka terhadap potensinya serta menjadikan mereka peserta aktif, bukan sekadar penumpang atau pemerhati semata-mata.

No comments: