KUALA LUMPUR 8 Nov. – Syarikat-syarikat akhbar diminta tidak memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya memenuhi tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.
Sambil memuji penerbitan Utusan Malaysia hari ini walaupun pada cuti umum Deepavali, beberapa pemimpin dan perwakilan UMNO mahu kelemahan yang wujud dalam industri akhbar diatasi.
Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, operasi penerbitan akhbar sepatutnya tidak dihentikan atas alasan akhbar tidak dapat diedarkan kerana tiada tenaga kerja untuk melakukannya.
Beliau berkata, tanpa akhbar diterbitkan setiap hari, sekiranya berlaku peristiwa penting sudah pasti rakyat tidak dapat mengetahui maklumat sebenar.
Muhammad mengambil contoh ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung UMNO semalam yang berkemungkinan tidak dapat diketahui oleh semua rakyat disebabkan banyak akhbar arus perdana tidak diterbitkan hari ini.
Hanya akhbar Utusan Malaysia, KOSMO! dan akhbar Cina Oriental Daily diterbitkan hari ini manakala akhbar-akhbar lain menutup operasi masing-masing.
Bagaimanapun, Kumpulan Utusan tetap menerbitkan Utusan Malaysia dan KOSMO! pada hari Deepavali. Hari ini, sebanyak 370,586 naskhah Utusan Malaysia dan 162,935 naskhah KOSMO! diedarkan di seluruh negara menggunakan rangkaian pemasaran Utusan sendiri.
Sesetengah akhbar di negara ini memberi alasan wujud masalah untuk memasarkan akhbar kerana ketiadaan pengedar ekoran cuti umum Deepavali.
‘‘Berdasarkan apa yang berlaku itu, ada keperluan untuk menilai dan mengkaji keperluan supaya mewajibkan akhbar-akhbar di negara ini diterbitkan sekiranya ada peristiwa atau perayaan penting dalam negara.
‘‘Sekiranya berlaku kecemasan, sudah pasti sukar untuk kerajaan menyampaikan mesejnya kepada rakyat,’’ kata Muhammad ketika dihubungi.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan pada perhimpunan hari ini berkata, sepanjang 58 tahun UMNO bersidang, inilah kali pertama dalam sejarah ucapan dasar Presiden UMNO tidak dapat dibaca oleh keseluruhan ahli disebabkan masalah itu.
‘‘Hanya melalui Utusan Malaysia dan Oriental Daily ahli-ahli dapat baca ucapan dasar Presiden,’’ ujarnya.
Menurut beliau, ia menunjukkan kelemahan struktur rantaian bekalan di Malaysia apabila hanya kaum tertentu menguasai pengedaran akhbar.
Katanya, jika struktur tersebut tidak diubah maka perjuangan untuk menjayakan agenda nasional tidak akan tercapai.
‘‘Inilah yang berlaku jika rangkaian bekalan akhbar dilakukan oleh orang bukan Melayu, hari ini baru kita nampak ucapan dasar Presiden kita tidak boleh dibaca kerana tiada akhbar,’’ ujar Khairy.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad pula memberitahu, agenda nasional khususnya yang berkaitan dengan dasar kerajaan seharusnya sampai kepada rakyat kerana ia mampu mempengaruhi corak pemerintahan negara.
Menurutnya, walaupun beberapa peristiwa yang berlaku mewakili kaum tertentu, sebagai rakyat Malaysia, kaum-kaum lain juga berhak mengetahui senario sebenar.
No comments:
Post a Comment