DASAR kewangan yang membantutkan perkembangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan dasar pekerja asing yang menyebabkan lambakan buruh asing perlu dikaji semula bagi menggerakkan ekonomi serta meningkatkan produktiviti rakyat melalui teknologi dan inovasi.
Wakil Johor, Datuk Dr Hariss Salleh, berkata dasar kewangan sedia ada tidak banyak membantu dengan pihak bank amat konservatif dan ragu-ragu seolah-olah enggan membantu memberi pinjaman kepada usahawan PKS.
Sehubungan itu, Umno Johor mencadangkan dana Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank) yang kini RM2 bilion, ditambah menjadi RM10 bilion bagi memudahkan urusan pinjaman.
Dr Hariss yang juga Ketua Umno Bahagian Bakri, berkata dasar pekerja asing yang tidak jelas menyebabkan kemasukan ramai pekerja asing sehingga menjejaskan peningkatan produktiviti melalui inovasi, penggunaan teknologi dan modal insan berkualiti.
"Apa yang nyata di sekeliling kita, (industri) lebih banyak bergantung kepada pekerja asing. Lambakan buruh asing membuatkan banyak industri tidak peduli kepada inovasi dan perubahan teknologi.
"Sebab itulah selepas kita buktikan kepada dunia anak Malaysia mampu ke angkasa lepas, kita masih terkial-kial dengan sabit dan galah untuk menurunkan buah sawit di ladang. Mana teknologi kita?, katanya.
Mana penyelidikan dan pembangunan (R&D) kita? Walhal, bukan semalam, bukan kelmarin, sebaliknya sudah sekian lama kita bertani dan berladang," katanya.
Katanya, lebih baik melatih pekerja sendiri yang mahir dalam penggunaan teknologi yang akan meningkatkan produktiviti serta membolehkan mereka menikmati hidup lebih berkualiti.
Beliau turut mencadangkan diperkenalkan konsep baru, modal sosial dalam bidang ekonomi, iaitu konsep yang berteraskan saling mempercayai, timbal balas dan kesetiaan yang bukan saja antara kumpulan atau komuniti, malah antara kaum.
Katanya, selepas adanya modal insan untuk membangunkan sahsiah individu dan modal sosial dalam perkongsian kuasa politik, kini sudah tiba masanya modal sosial dalam kegiatan ekonomi diwujudkan.
"Sekarang kegiatan ekonomi kita adalah dikotomi, iaitu terasing antara satu kaum dengan kaum lain. Kalau ada kerjasama ia amat longgar... minta maaf cakap, kerjasama semata-mata untuk dapat kontrak kerajaan," katanya.
Mengenai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), beliau meminta mana-mana pihak tidak memperlekehkan usaha mewujudkan WPI dan sehingga ini 17 kawasan strategik sudah dikenal pasti untuk penduduk tempatan sama-sama menyertainya.
Katanya, WPI akan mewujudkan keseimbangan dengan memastikan tidak ada rakyat tercicir atau dikesampingkan yang menjadikannya nadi pembangunan yang pesat, dinamik dan tumpuan di rantau Asia.
"Oleh itu, dalam tempoh terdekat, Permata Asia, satu jolokan yang bakal menjadi kenyataan akan benar-benar bersinar di selatan negara," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment