KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mahu pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik di sekolah rendah dikendalikan semula dalam Bahasa Malaysia (BM), manakala teknik pengajaran bahasa Inggeris dimantapkan sebagai langkah lebih logik bagi menangani masalah penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar Melayu.
Sambil tidak menolak kepentingan orang Melayu menguasai lebih daripada satu bahasa pada era globalisasi, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, berkata kaedah yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran sekarang bukan cara terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
"Saya percaya dan saya hendak tunjuk bahawa kita bukan antikemajuan, bukan anti-Inggeris. Kalau hendak baiki bahasa Inggeris, cara terbaik meningkatkan penguasaannya bukanlah melalui mata pelajaran Sains dan Matematik.
"Cara terbaik ikut logiknya untuk kita belajar bahasa Inggeris ialah memantapkan teknik pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri.
"Kenapa nak kacau Sains dan Matematik... kita kena lihat macam mana kita hendak mantapkan pengajaran mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah," katanya ketika membahaskan usul Ekonomi dan Pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2007, semalam.
Akhir bulan lalu, kerajaan memutuskan peperiksaan subjek Matematik dan Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diteruskan dalam dwibahasa di sekolah kebangsaan dan kajian menyeluruh mengenainya akan selesai dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dilaporkan berkata keputusan itu turut membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).
Khairy berkata, bagi meningkatkan kemampuan penguasaan bahasa Inggeris, teknik pengajaran boleh dipelbagaikan kerana mata pelajaran itu menawarkan skop yang luas seperti kesusasteraan Inggeris.
"Dalam bahasa Inggeris ada skop luas untuk memperbaikinya... tolonglah perkenalkan sastera Inggeris dan taktik lain. Saya percaya, dulu Presiden (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) pernah belajar Shakespeare, kesusasteraan Inggeris dan sebagainya. Itulah cara terbaik meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris," katanya.
Beliau berkata, pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik wajar dikendalikan dalam bahasa Malaysia sesuai dengan rombakan semula sektor pendidikan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
"Pelaksanaan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ini (sebenarnya) mempunyai niat murni untuk membaiki bahasa Inggeris dan memudahkan mereka (murid) memahami istilah Sains dan Matematik yang banyak datang daripada bahasa Inggeris.
"Namun, jika pelaksanaannya tidak memberi kesan, sebaliknya prestasi bahasa Inggeris, Matematik dan Sains anak-anak kita turun (merosot), apa salahnya kita kembali ke asal.
"Kita kembali mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa kebangsaan selaras dengan rombakan semula kurikulum dalam PIPP," katanya.
Khairy juga menjelaskan bahawa gesaan itu bukan bermakna orang Melayu antikemajuan, sebaliknya ada laporan menyatakan pelajar menghadapi kesukaran untuk mempelajarinya.
"Bukan bermakna Melayu kalah... tak berani dan kita tak boleh belajar dalam bahasa Inggeris, tetapi mereka yang di bawah beritahu kita bahawa bukan mudah untuk anak berusia tujuh tahun sama ada di bandar dan luar bandar yang dibesarkan dalam suasana bahasa ibunda tiba-tiba belajar mata pelajaran teknikal dalam bahasa Inggeris.
"Bahasa Inggeris ini bertindak sebagai tembok penghalang untuk memahami subjek Sains dan Matematik kerana ilmu tidak sampai kepada mereka," katanya yang menyifatkan keperluan murid menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik serta bahasa Inggeris serentak sebagai 'double trouble' atau masalah berganda.
Khairy percaya guru juga berhadapan masalah untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kerana usaha melatih mereka dilakukan dalam masa singkat sehingga menyukarkan mereka membuat penyesuaian.
"Akibatnya, bukan saja lidah tergeliat, proses pembelajaran juga terencat," katanya.
Namun, Khairy menjelaskan orang Melayu perlu menguasai bahasa asing termasuk bahasa Inggeris jika mahu terus bersaing dalam era globalisasi, manakala sistem pendidikan negara perlu melahirkan produk daripada golongan ulul albab yang bersifat lengkap, iaitu menguasai semua bidang ilmu, kreatif, inovatif, yakin diri, menghayati agama dan semangat patriotisme tinggi.
"Kita juga perlu memastikan golongan pendidik dapat melahirkan produk PIPP bermutu. Justeru, institut pendidikan guru perlu memperkenalkan mata pelajaran pemikiran kreatif dan kritikal. Guru boleh berfikir di luar batas kelaziman agar tidak terancam dengan anak murid yang mempunyai pemikiran luar biasa," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment