Monday, August 17, 2009

Dijamin berjalan lancar

Dijamin berjalan lancar

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 16 Ogos - Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir esok dijamin akan berjalan lancar dan berlangsung dalam keadaan terkawal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya telah mengatur kawalan keselamatan secukupnya bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang tempoh penamaan calon.

Menurut beliau, semua persiapan dan langkah keselamatan disusun dengan baik selepas mendapat taklimat daripada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, kelmarin.

''Saya dah lihat persiapan keselamatan yang diatur oleh polis Pulau Pinang dan saya cukup berpuas hati dengan semua persiapan untuk memastikan hari penamaan calon berjalan lancar dan terkawal.

''Jika berlaku sesuatu kejadian yang tidak diduga, kita juga sudah membuat persiapan untuk itu," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu di Everly Resort Hotel, Tanjung Kling dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Idris Haron.

Pada pilihan raya kecil 25 Ogos ini, Barisan Nasional (BN) meletakkan calon muda, Rohaizat Othman, 38, yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh. Beliau akan dicabar oleh Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man, 52.

Menurut Hishammuddin, seramai 998 anggota dan pegawai polis akan ditempatkan di barisan hadapan sepanjang hari penamaan calon.

Di samping itu, kata beliau, pasukan tambahan pula diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan akan bertindak jika berlaku sesuatu kejadian yang tidak ingini.

Dari segi logistik pula, kata Hishammuddin, penyokong kedua-dua calon akan turut diasingkan dengan kawalan yang cukup ketat.

''Kita akan pisahkan kedua-dua penyokong calon BN dan Pas bagi mengelakkan mereka daripada bertembung," katanya.

Sehubungan itu, Hishammuddin sekali lagi meminta kerjasama kedua-dua parti yang bertanding agar tidak bertindak hingga boleh menimbulkan ketegangan.

Beliau menegaskan, polis akan bertindak tanpa mengira sama ada mereka daripada BN atau Pas jika ada di antara mereka dengan sengaja menimbulkan kekecohan sepanjang hari penamaan calon.

''Jika ada di antara mereka yang bertindak di luar batasan, pihak polis tidak akan teragak-agak menahan mereka dan bertindak mengikut undang-undang yang sedia ada," katanya.

No comments: