Undian portal tanda rakyat faham keperluan ISA
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Keputusan undian portal berita Kementerian Dalam Negeri (KDN), berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukkan rakyat memahami keperluan sebuah akta pencegahan kepada negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, ISA sentiasa relevan bagi menjaga keamanan negara ini.
''Saya amat gembira dengan kesedaran yang ditunjukkan oleh rakyat mengenai pentingnya ISA. Sebagai bekas tahanan ISA, saya insaf kepentingan akta ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ibrahim diminta mengulas keputusan undian portal yang menunjukkan sebanyak 58 peratus atau 23,850 respons mengundi menyokong ISA 'diteruskan dengan semakan' seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, hanya 42 peratus atau 17,399 respons mahu akta kontroversi itu 'dimansuhkan' sehingga undian itu ditutup malam semalam.
KDN sejak 6 Ogos lalu telah melancarkan undian dengan menyertakan lima soalan untuk dijawab oleh orang ramai iaitu 'pandangan anda ISA adalah..., adakah anda faham dan tahu sepenuhnya mengenai ISA, bagaimana anda mengetahui ISA, apa yang anda mahu daripada ISA dan tahukah Amerika Syarikat dan Britain turut mempunyai undang-undang pencegahan?
Mengulas lanjut, Ibrahim memberitahu, kerajaan perlu melakukan penambahbaikan dengan segera ke atas akta tersebut bagi mengelak rakyat beranggapan ISA sering disalah guna bagi tujuan kepentingan politik.
Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula meminta pihak yang menentang ISA supaya menghormati keputusan majoriti.
"Keputusan ini adalah keputusan rakyat dan perlu dihormati oleh semua pihak termasuk kumpulan yang bersungguh-sungguh menentang supaya ISA dimansuhkan.
''Rakyat sedar perlunya undang-undang pencegahan dalam negara kita dan demonstrasi baru-baru ini bukan suara majoriti," jelasnya.
Sehubungan itu, Osman mengajak semua pihak termasuk Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) supaya dapat bersama-sama dengan kerajaan meminda akta berkenaan supaya lebih relevan.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Agus Yusof menjelaskan, undang-undang pencegahan sentiasa relevan kepada semua negara.
Katanya, ISA tidak wajar dimansuhkan, tetapi akta itu perlu segera disemak dan diperbaharui.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment