Saturday, August 15, 2009

Salleh Man calon Pas

Salleh Man calon Pas

BUKIT MERTAJAM 14 Ogos - Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.

Pemilihan Salleh diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan para penyokong parti itu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir di sini malam ini.

Abdul Hadi berkata, pucuk pimpinan parti itu memilih Salleh selepas mengambil kira pengalaman serta latar belakang pendidikan pemimpin itu.

''Kita percaya beliau (Salleh) mampu menggalas tugas untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN)," katanya.

Salleh, 52, merupakan graduan Universiti Malaya (UM) dan pernah bertanding dalam enam pilihan raya termasuk pilihan raya umum lalu, tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Jasmin Mohamed dengan majoriti 535 undi bagi kerusi DUN Sungai Dua.

Pada pilihan raya umum 2004, beliau bertanding di DUN Pinang Tunggal tetapi tewas kepada calon BN Datuk Roslan Saidin dengan majoriti 6,288 undi dan turut tewas di kerusi itu pada pilihan raya umum 1999 kepada calon BN, Yahaya Hamid.

Pada pada pilihan raya umum 1995, Salleh tewas kepada calon BN, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dengan majoriti 12,651 undi.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya Mohd. Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada Pas akibat sakit jantung, pada 31 Julai lepas.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Mohd. Hamdan yang menyandang kerusi itu sejak tahun 1999, memperoleh 11,004 undi menewaskan calon BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

No comments: