Saturday, August 15, 2009

'Saya mahu wujudkan perpaduan di Permatang Pasir'

'Saya mahu wujudkan perpaduan di Permatang Pasir'

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan NURUL HUDA HASSAN
utusanpenang@utusan.com.my

PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir menyaksikan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan seorang calon muda, Rohaizat Othman.

Utusan Malaysia mengambil kesempatan mengemukakan lima soalan kepada peguam syarie berusia 38 tahun itu di sebalik kesibukannya sebaik sahaja diumumkan sebagai calon pilihan raya tersebut semalam.

Utusan: Tahniah kerana dipilih sebagai calon. Apa perasaan saudara sebaik nama diumumkan sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil ini?

Rohaizat: Saya terfikir dua perkara. Pertama, saya membayangkan betapa besar tanggungjawab yang bakal saya pikul untuk menjadi calon. Pada masa sama, saya terharu dengan sokongan pucuk pimpinan parti kepada saya.

Utusan: Melihat kepada pelbagai isu termasuk masalah berpuak-puak dalam UMNO Bahagian Permatang Pauh, sejauh mana keyakinan saudara bahawa BN boleh menang?

Rohaizat: Itu bukan masalah besar kerana isu ini sebenarnya yang digembar-gemburkan oleh parti pembangkang untuk memberi persepsi bahawa UMNO dan BN lemah.

Anda boleh tengok ramai pemimpin dan ahli UMNO serta parti komponen BN datang hari ini memberi sokongan dan saya yakin ia dapat diterjemahkan dalam bentuk keserasian jentera parti kelak. Bagaimanapun, saya selesa untuk melihat BN menjadi underdog dalam pilihan raya kecil ini.

Utusan: Anda mahu menjadi calon underdog tapi pucuk pimpinan UMNO dan BN mahu masuk ke dalam pilihan raya ini sebagai pemenang. Komen saudara?

Rohaizat: Underdog bermaksud, kita merendah diri dan turun jumpa pengundi dari rumah ke rumah dan memberikan penjelasan. Kita mahu memberi keyakinan kepada pengundi bahawa BN mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Kalau kita lihat prestasi BN di Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, Kelantan, penerimaan pengundi sebenarnya amat baik dan saya percaya keadaan itu juga boleh berlaku di sini (Permatang Pasir). Tiada yang mustahil dalam politik.

Utusan: Permatang Pasir merupakan kubu kuat Pas. Bagi saudara, apa pendekatan terbaik yang boleh digunakan oleh BN untuk menang?

Rohaizat: Seperti yang saya kata, peluang BN tetap ada walaupun ini kubu kuat pembangkang. Bagi saya, tumpuan perlu diberikan untuk menarik perhatian dan sokongan orang muda yang mewakili 40 peratus pengundi.

Saya percaya pucuk pimpinan akan mengambil perhatian dalam perkara ini. Apa yang penting, saya mahu melihat pilihan raya kecil ini membawa perpaduan di kalangan penduduk di Permatang Pasir.

Utusan: Mesej saudara untuk pengundi di Permatang Pasir.

Rohaizat: Saya harap pengundi boleh membuat keputusan yang paling wajar dengan melihat sumbangan serta prestasi BN dalam membangunkan negara selama ini.

Perkembangan politik kebelakangan ini membuktikan pakatan pembangkang gagal dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat terutamanya di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, besar harapan saya adalah untuk mewujudkan perpaduan di Permatang Pasir.

No comments: