Saturday, August 15, 2009

'Perang' Ong, Tiong cemar kerajaan

'Perang' Ong, Tiong cemar kerajaan

Oleh Johari Ibrahim

joib@bharian.com.my


MUHYIDDIN melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Peringkat Kebangsaan sambil diperhatikan Lee (kiri), Musa dan Alimuddin di Putrajaya, semalam.

Isu Zon Bebas Pelabuhan Klang elak buat kenyataan media: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Perbalahan secara terbuka menerusi media antara Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) boleh mencemarkan imej kerajaan dan parti, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, beliau berkata, sebagai pemimpin, kedua-duanya perlu menimbangkan tindakan itu sebelum mengambil sebarang langkah termasuk kenyataan media.

"Pada masa ini ia dilakukan secara terbuka tetapi perlu diselesaikan oleh kedua-duanya secara serius.

"Ia (perdebatan) semestinya tidak membantu kepada imej kerajaan tetapi orang ramai mahu tahu situasi sebenar. Jadi, kedua-duanya perlu berhati-hati melakukan apa juga tindakan di khalayak umum," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Peringkat Kebangsaan anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Kementerian Pelajaran, di sini semalam.

Turut hadir Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini terbabit dalam perbalahan secara terbuka mengenai isu PKFZ dengan Tiong mendakwa Ong yang juga Presiden MCA, menerima RM10 juta daripadanya yang juga Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, iaitu pemaju PKFZ.

Ong membalas dakwaan itu dengan membuat laporan polis terhadap Tiong semalam dan mendedahkannya kepada media.

Muhyiddin berkata, kedua-duanya perlu mematuhi peraturan untuk mengambil sebarang tindakan atau kedudukan akan terjejas pada pandangan umum.

Ditanya sama ada beliau akan memanggil kedua-dua pemimpin itu atau memberi ingatan mengenai peraturan, Timbalan Perdana Menteri berkata: "Sebagai pemimpin mereka perlu lebih tahu apa yang sepatutnya dilakukan dan kesan kepada parti serta kerajaan."

Katanya, pemimpin BN perlu berhati-hati mengambil tindakan.

"Mereka sepatutnya berwaspada mengenai apa yang hendak dikatakan kerana kewibawaan akan dinilai oleh orang ramai berdasarkan apa yang dikatakan," katanya.

No comments: