Saturday, August 15, 2009

Rohaizat yakin bantu BN tawan Permatang Pasir

Rohaizat yakin bantu BN tawan Permatang Pasir

Oleh Fazli Abdullah dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my


MUHYIDDIN bersama pemimpin parti BN menjulang tangan Rohaizat (tiga dari kiri) selepas pengumuman calon di Permatang Pasir, semalam.

Rekod baik di Manek Urai mampu raih sokongan penduduk

BUKIT MERTAJAM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman, 38, melahirkan keyakinan tinggi dapat membantu BN merampas kerusi itu daripada Pas.

Sambil menyifatkan dirinya sebagai 'underdog' dalam pilihan raya kecil itu, Rohaizat berkata, tidak mustahil BN memenanginya berdasarkan komitmen serta sokongan padu diberikan parti komponen BN.

"Selain itu, rekod kita di Manek Urai, Kelantan dalam pilihan raya kecil sebelum ini cukup baik dan dalam politik apa saja boleh terjadi. Atas dasar itulah, saya yakin BN mampu menang di Permatang Pasir.

"Saya akan berusaha habis-habisan untuk memberi kemenangan kepada BN dan memastikan Permatang Pasir menjadi platform kepada BN memulihkan sokongan rakyat kepada kita terutama di Permatang Pauh," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil Permatang Pasir, semalam.

Pemilihan Rohaizat yang juga Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis khas di Bukit Merah, Jalan Permatang Pauh di sini.

"Saya akan menggunakan pendekatan turun padang dan berjumpa setiap pengundi bagi memberi penjelasan yang sebenarnya mengenai wawasan kerajaan BN iaitu untuk membantu setiap rakyat.

"Saya percaya penduduk di sini memang dahagakan pembangunan dan inilah peluang untuk mereka," katanya.

Rohaizat, anak jati Permatang Pauh yang menerima pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al Mashoor, Pulau Pinang adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Beliau yang juga peguam syarie, aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) dengan memegang pelbagai jawatan, antaranya Setiausaha Kelab Sukan DUN penanti dan Exco Persatuan Homestay Malaysia sejak 2003 hingga kini.

Hasil perkongsian hidup dengan Khairul Niza Abdul Razak yang bekerja sebagai pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Aiman Hidayat, 9.

No comments: