Situasi 'ibarat meludah ke langit'
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KOTA BHARU 14 Ogos - "Seperti meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri."
Itu situasi yang dihadapi kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP apabila akhirnya terpaksa berhadapan demonstrasi oleh rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kekecohan yang berlaku di Kampung Buah Pala semalam adalah akibat tindakan pakatan pembangkang sendiri yang memperkenalkan budaya protes di tepi jalan sehingga menjadi ikutan rakyat.
"Apa yang berlaku di Kampung Buah Pala sebenarnya telah pun kembali kepada mereka sendiri yang selama ini mengajar rakyat merusuh, membantah di tepi-tepi jalan dan untuk mengamalkan protes melalui keganasan.
"Akhirnya di negeri mereka memerintah, bila rakyat merasakan tidak adil, rakyat sudah tidak mahu duduk berbincang secara rasional," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hishammuddin mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang semalam selepas penduduk kampung itu membuat rantaian manusia di tepi jalan untuk menghalang rumah mereka daripada dirobohkan.
Akhbar hari ini melaporkan, percubaan pekerja pemaju untuk memasuki kawasan itu pada kira-kira pukul 10 pagi dan 1 tengah hari dihalang oleh penduduk kampung yang berkumpul di kawasan laluan masuk ke penempatan 23 unit rumah itu.
Keadaan dilaporkan semakin panas apabila segelintir penduduk yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak tidak berganjak dari tempat mereka berdiri walaupun hujan agak lebat pada sebelah pagi.
Tindakan berkumpul di tepi jalan dan melakukan protes tersebut adalah sama dengan beberapa siri perhimpunan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang termasuk anjuran Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sehubungan itu, Hishamuddin berkata, selepas merasai sendiri kesan aktiviti tidak sihat itu, barulah pakatan pembangkang sedar mengenai kesan rusuhan yang mereka lakukan sebelum ini.
"Ini baru dia rasa, kalau tidak, kerajaan juga dituduh macam- macam daripada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sampailah ke Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibawa sampai ke tepi jalan.
"Menyusahkan orang ramai, peniaga dan akhirnya kalau boleh mereka ini saya rasa nak memporak-perandakan keadaan dan pada masa atau ketika itu bila rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa, semuanya sudah terlewat," tambahnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment