Saturday, August 15, 2009

Atasi segera masalah penduduk Buah Pala

Atasi segera masalah penduduk Buah Pala

ALOR SETAR 14 Ogos - Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mahu kerajaan Pulau Pinang yang diterajui pakatan pembangkang menyelesaikan segera isu Kampung Buah Pala yang berlarutan sehingga kini.

Tsu Koon yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pembangkang yang dahulunya berjanji mahu menjadi pembela nasib penduduk di kawasan itu perlu mengotakan janji mereka.

"Isu ini kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk cari penyelesaiannya.

"Dahulu mereka yang kata nak jadi hero dan pembela jadi sekarang mereka kena selesaikan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan 2009 Parti Gerakan Kedah di sini hari ini.

Semalam, Kampung Buah Pala kembali kecoh dan tegang berikutan tindakan pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd. (Nusmetro) mahu meneruskan hasrat merobohkan 23 unit rumah penduduk di situ.

Bagaimanapun, pemaju yang membawa kira-kira 100 pekerja bersama dua jentolak gagal merobohkan rumah penduduk walaupun cuba berbuat demikian dua kali.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memerintahkan penduduk Kampung Buah Pala mengosongkan tanah seluas 2.6 hektar itu bagi membolehkan pemaju dan pemilik tanah, Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang membangunkan kawasan berkenaan.

Penduduk enggan berpindah selepas beberapa pemimpin pembangkang dikatakan berjanji dalam kempen pilihan raya umum tahun lalu untuk membantu mereka jika gabungan pembangkang memenangi pilihan raya itu.

No comments: