Saturday, August 15, 2009

Inkues: Teoh Beng Hock: Teoh mungkin bunuh diri: Saksi

Inkues: Teoh Beng Hock: Teoh mungkin bunuh diri: Saksi

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
bhnews@bharian.com.my

Tiada kesan pergelutan ditemui di tepi tingkap

SHAH ALAM: Seorang saksi pakar memberitahu Mahkamah Koroner di sini semalam, Teoh Beng Hock mungkin bunuh diri berdasarkan tiada kesan pergelutan ditemui di tepi tingkap tetapi dibantah peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo kerana tidak disokong bukti kukuh yang menunjukkan mendiang berdiri dan terjun melalui tingkap.

Pakar Perunding Kanan Perubatan, Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim, 51, merumuskan demikian ketika menjawab tiga teori, iaitu sama ada Teoh dibunuh, mengalami kemalangan atau bunuh diri yang dikemukakan peguam, Tan Hock Chuan, yang dilantik Kerajaan Malaysia.

Katanya, pendapatnya itu dibuat kerana tiada kesan pergelutan yang jelas, darah, pecah, barangan berterabur berhampiran tingkap yang dipercayai tempat Teoh terjatuh dari tingkat 14, Plaza Masalam pada 16 Julai lalu, yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Saksi ke-10 itu berkata, sebatang pen SPRM berwarna oren yang berada dalam poket baju Teoh juga masih ada di situ kerana jika berlaku pergelutan sebelum si mati jatuh, beliau percaya sudah pasti pen itu akan tercampak.

"Hasil ujian DNA juga menunjukkan tidak ada kesan DNA dari pegawai SPRM, malah kesan kecederaan dialami si mati tidak menunjukkan sebarang tanda pergelutan dan ia boleh dijelaskan akibat daripada kesan jatuh.

"Pada pendapat saya, ia lebih kepada si mati terjun dari tempat tinggi, " katanya.

Dr Khairul Azman menyambung keterangannya dalam inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh di depan Koroner Azmil Muntapha Abas yang masuk hari ke-9, semalam.

Teoh, 30, Setiausaha Politik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor kepada SPRM Selangor.

Gobind pula menyanggah pendapat Dr Khairul Azman berhubung teori Teoh membunuh diri dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Katanya, pendapat doktor itu tidak tepat kerana tiada kesan tapak kasut atau cap jari pada bingkai tingkap atau lebihan lantai di bahagian luar tebing atau tubir tingkap, yang dikesan ketika pemeriksaan pakar forensik polis.

"Teori bunuh diri ini hanya dibuat berdasarkan fakta yang tidak wujud kerana doktor sendiri tidak membuat pemeriksaan untuk menyokong teori ini. Jika benar si mati berdiri di situ sebelum terjun ke bawah, mengapa tiada kesan tapak kaki pada bingkai tingkap," katanya.

Bagaimanapun, Dr Khairul Azman menjelaskan ketiadaan kesan tapak kaki mungkin disebabkan lantai dalam pejabat SPRM itu dipasang permaidani dan debu kasut mungkin hilang ketika si mati berjalan di atasnya.

"Mungkin ada kesan tapak kaki di situ tetapi tidak nampak, saya ada periksa tapi tidak nampak. Kesan tapak kasut sukar ditemui di sekitar kawasan tingkap itu kerana tempat itu mempunyai permaidani, " katanya.

Beliau kemudian bangun dari kandang saksi dan menunjukkan lakonan semula bagaimana Teoh dikatakan terjun melalui tingkap itu.

Caranya ialah dengan mengeluarkan kaki kanan dulu dari pagar kandang saksi (dianggap sebagai tingkap), sambil kedua-dua tangan memegang pagar kandang, beliau kemudian mengeluarkan kaki kanan dan berdiri di luar pintu kandang sebelum terjun ke bawah.

Prosiding bersambung Isnin ini.

2 comments:

I swear said...

Bunuh diri? Talk to my arse.

I swear said...

Bunuh diri? Talk to my arse.