Saturday, August 15, 2009

Pengerusi Kg. Buah Pala diserang

Pengerusi Kg. Buah Pala diserang

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.

PULAU PINANG 14 Ogos - Polis menahan seorang lelaki yang didakwa memukul Pengerusi Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, M. Sugumaran dengan sebatang besi di hadapan rumahnya di sini malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, suspek yang berusia 53 tahun kini ditahan reman seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Malam tadi, Sugumaran, 54, membuat laporan di Balai Polis Jelutong mendakwa dia dipukul seorang lelaki di hadapan rumahnya, kira-kira pukul 8.30 malam.

Dia dipercayai dipukul dengan menggunakan sebatang besi oleh seorang penduduk berusia 53 tahun yang dipercayai dalam keadaan mabuk.

Sementara itu, menurut Sugumaran, berikutan kejadian itu, dia menerima dua jahitan di kepala.

Namun, kejadian itu tiada kena mengena dengan perjanjian yang ditandatangani penduduk kampung itu dan pemaju, Nusmetro Venture Sdn. Bhd.

Katanya, kejadian yang berlaku juga bukan berpunca daripada salah faham atau perbalahan yang besar.

''Kecederaan yang dialami juga hanyalah kecil sahaja dan tidak ada yang perlu dirisaukan kerana laporan polis sudah dibuat. Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut,'' katanya.









Pengerusi Kampung Buah Pala dipukul

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
bhnews@bharian.com.my

Lelaki tak puas hati persetujuan kosong rumah

GEORGETOWN: Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Buah Pala, M Sugumaran, 54, cedera di kepala selepas dipukul oleh seorang penduduk dengan sebatang besi di depan rumahnya di sini, malam kelmarin.

Lelaki terbabit bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan tindakan Sugumaran yang bersetuju untuk mengosongkan rumah mereka mulai 1 September ini, jika pemaju membayar pampasan kepada penduduk.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata Sugumaran menerima dua jahitan di kepalanya, tetapi keadaannya mungkin lebih parah jika tidak diselamatkan penduduk dalam kejadian jam 8.30 malam.

Beliau berkata, Sugumaran membuat laporan polis di Balai Polis Jelutong, malam kelmarin dan berdasarkan maklumat itu, polis menahan suspek berusia 53 tahun itu untuk siasatan lanjut.

"Suspek kini ditahan reman seminggu mulai kelmarin untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Siasatan awal mendapati ia ada kaitan dengan surat perjanjian untuk keluar dari rumah masing-masing yang ditandatangani penduduk dalam rundingan bersama pemaju dan polis kelmarin," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ayub berkata, penduduk perlu bertenang sepanjang tempoh penangguhan yang diberikan pemaju dan seharusnya mencari jalan penyelesaian, bukannya memburukkan keadaan.



Sementara itu, Sugumaran ketika dihubungi di sini, semalam berkata, serangan terhadapnya tiada kaitan dengan perjanjian yang ditandatangani penduduk dan pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd, kelmarin.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku disebabkan salah faham semata-mata dan bukannya perkara besar.

No comments: