Saturday, August 15, 2009

Nik Aziz terdesak - Shahrizat

Nik Aziz terdesak - Shahrizat

Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pergerakan Wanita UMNO menganggap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai terdesak kerana sanggup menggadai agama demi politik.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya amat terkejut serta kecewa dengan kenyataan Nik Aziz yang sanggup membuat kenyataan menyinggung perasaan orang Islam.

Malah, menurutnya, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu turut mengelirukan orang bukan Islam yang amat menghormati orang Islam.

"Hanya segelintir golongan yang mempunyai motif politik mengambil kesempatan untuk menghina dan mencaci Islam.

"Tetapi, kalau tokoh agama seperti Nik Aziz mengatakan boleh buat apa yang hendak buat, katalah apa nak kata, ini akan membawa satu budaya yang akan menghancurkan masyarakat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan RM5 juta kepada 89 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada majlis anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)-NGO: 1Nada 1Suara di sini hari ini.

Shahrizat diminta mengulas sikap Nik Aziz yang sanggup menghalalkan tindakan segelintir pemimpin DAP didakwa menghina Islam hanya kerana pihak yang menghina adalah rakan dalam pakatan pembangkang.

Beliau begitu sedih dengan corak kepimpinan Nik Aziz dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang sanggup menggadaikan kesucian agamanya sendiri semata-mata kerana politik.

Beliau seterusnya berkata, Wanita UMNO dalam Barisan Nasional (BN) dan parti komponen lain amat berhemah dan saling menjaga hati agar tidak menyinggung perasaan orang lain.

Shahrizat berharap Menteri Besar Kelantan itu berhenti membuat kenyataan yang boleh menyinggung perasaan orang Islam dan bukan Islam kerana bukan semua mereka menyokong apa yang diperkatakan oleh pemimpin Pas itu.

"Wanita UMNO ingin merekodkan dukacita kami terhadap kepimpinan Nik Aziz yang dilabel sebagai tokoh agama Islam, tetapi membuat kenyataan dan pendekatan yang mengelirukan rakyat," ujarnya.

Tegas beliau, kenyataan Nik Aziz yang tidak menghalang orang bukan Islam menghina Islam hanya akan memecah-belahkan orang Melayu di negara ini.

"Tindakan itu juga dikhuatiri membawa satu budaya orang bukan Islam tidak akan lagi menghormati orang Islam.

"Di Malaysia, rakyat pelbagai kaum dan agama boleh tinggal secara aman kerana mereka mengamalkan budaya hormat-menghormati antara satu sama lain dan tidak mengajar agar pemimpin serta rakyat mengganas,'' katanya.

No comments: