Saturday, August 15, 2009

Gobind tolak teori Beng Hock bunuh diri

Gobind tolak teori Beng Hock bunuh diri

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 14 Ogos - Peguam Gobind Singh Deo mendakwa teori Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14 Plaza Masalam di sini 'musnah' berikutan ketiadaan kesan tapak kasut dan cap jari di birai serta tepi tingkap berkenaan.

Beliau yang merupakan peguam pemerhati bagi keluarga Beng Hock, menganggap teori Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik, Dr. Khairul Azman Ibrahim dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang itu tidak berasas kerana tidak disokong oleh sebarang bukti.

''Tiada kesan tapak kasut, tiada kesan cap jari. Ia menyebabkan teori kamu musnah. Ini bukan kes bunuh diri atau kes si mati terjun. Pakar forensik polis pun tidak menjumpai kesan-kesan tersebut. Jadi teori kamu silap.

''Teori bunuh diri yang diberitahu kepada mahkamah hari ini adalah berasaskan fakta yang tidak wujud sebab kamu sendiri tidak menjalankan pemeriksaan untuk menyokong teori tersebut,'' tegas beliau hari ini dalam prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini.

Sebelum itu, Khairul yang merupakan saksi inkues ke-10 menunjukkan cara kemungkinan Beng Hock terjun dari tingkap dengan meletakkan kaki kanan dahulu ke atas birai tingkap dan kemudian kaki kiri sebelum menggayakan aksi terjun.

Demonstrasi menggunakan kandang saksi itu dilakukan sekali lagi dengan kaki kanannya dihulurkan keluar sambil punggungnya diletakkan di atas birai tingkap sebelum menghulurkan kaki kiri.

Berikutan itu, Gobind mempersoalkan mengapa tiada kesan tapak kasut atau cap jari sekiranya benar Beng Hock berdiri atau duduk di atas birai tingkap sebelum terjun.

Khairul kemudiannya mengaku beliau tidak nampak sebarang kesan tapak kasut pada birai mahupun bahagian luar tingkap semasa memeriksa tempat kejadian pada 16 dan 22 Julai lalu.

Beliau turut mengaku tidak melakukan ujian cap jari pada tingkap tersebut kerana makmalnya tidak mempunyai peralatan berkenaan.

''Saya ada periksa, mungkin ada tetapi saya tidak nampak. Kesan tapak kasut tidak kelihatan sebab si mati berjalan di atas permaidani dan mungkin debu-debu telah tersapu,'' jelas beliau.

Pada prosiding hari ini, Gobind turut mempersoalkan bagaimana kasut sebelah kiri Beng Hock boleh tertanggal daripada kaki ketika mayatnya ditemui sekiranya ia tidak longgar.

Justeru itu, Gobind membangkitkan teori kemungkinan kasut tersebut dicampak dari bangunan dan bukan jatuh bersama-sama Beng Hock memandangkan tiada kerosakan ketara padanya sebagaimana kasut kanan.

Walaupun mengaku terdapat kemungkinan ia dicampak, Khairul berpendapat, kasut itu boleh tertanggal semasa proses impak jatuh apabila Beng Hock terpelanting dan terjerumus ke depan.

''Kasut boleh tertanggal semasa proses jatuh. Pada pendapat saya, semasa si mati mendarat (terhempas), tekanan lebih kuat kepada kasut sebelah kanan, dan ia meninggalkan kesan.

''Sementara kasut di sebelah kiri, ia berkemungkinan besar tidak tinggalkan kesan kerana ia disokong oleh kaki kanan,'' katanya.

Menjawab soalan lain Gobind, Khairul mengaku tidak mengambil ukuran paras ketinggian antara tingkat 14 dan tingkat lima, saiz kasut, jarak kasut yang terpelanting, tali jam tangan serta jam yang dijumpai berkecai berhampiran mayat mendiang.

Khairul akan menyambung keterangan pada Isnin ini.

Sementara seorang lagi pakar patologi forensik yang dijadual akan memberi keterangan, Dr. Prashant Naresh Samberkar dikatakan masih belum sihat.

No comments: