BACHOK 14 Ogos - UMNO Bahagian Bachok hari ini menyerahkan memorandum mengandungi dua usul termasuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabel Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa.
Memorandum ditandatangani hampir 10,000 ahli itu diserahkan oleh Ketua Pemuda bahagian itu, Mohd. Zaidi Sidek kepada Bendahari UMNO yang juga Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah selepas majlis perasmian persidangan perwakilan bahagian itu di sini.
Lebih 200 perwakilan turut melaungkan secara serentak, 'Anwar Pengkhianat Bangsa'.
Usul kedua dalam memorandum yang diserahkan itu menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Ahmad Husni berkata, memorandum berkenaan akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti dalam tempoh terdekat ini.
''Tindakan menyerahkan memorandum ini adalah lambang demokrasi dalam proses memberi kebebasan kepada rakyat tetapi berteraskan kepada maklumat yang betul.
''Rakyat sekarang ini lebih sedar dan mahukan realiti dan apabila kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diterima, ia akan membawa kepada perubahan peraturan-peraturan politik di negara ini yang menyebelahi Barisan Nasional (BN)," ujarnya,
Sementara itu, UMNO Bahagian Pengkalan Chepa turut menyuarakan pendirian mahukan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diambil ke atas Anwar.
Ketuanya, Dali Husin ketika ditemui selepas persidangan perwakilan bahagian itu di sini hari ini berkata, tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Anwar jika dibiarkan akan menghuru-harakan ketenteraman negara.
Jelasnya, UMNO Pengkalan Chepa menyokong penuh kenyataan Muhyiddin itu kerana banyak perkara terpesong yang Anwar lakukan terhadap negara terutamanya orang Melayu.
Sebagai contoh katanya, Anwar memburuk-burukkan nama Malaysia di luar negara, mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), memperlekehkan institusi raja dan melemahkan struktur umat Islam sehingga rakannya dalam DAP telah menghina agama itu.
"Ini semua adalah hasil kerja Anwar yang kalau kita biarkan berlarutan akan menggugat keamanan negara.
''Justeru, adalah penting bagi kita untuk mempertahankan keamanan agar generasi akan datang tidak menyalahkan kita jika tidak mengambil tindakan sewajarnya dengan mengenakan tindakan ISA terhadapnya," ujarnya.
No comments:
Post a Comment