Saturday, August 15, 2009

Pemuda fokus golongan atas pagar

Pemuda fokus golongan atas pagar

PUTRAJAYA 14 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO akan memberi tumpuan khusus meraih sokongan golongan pengundi atas pagar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir 25 Ogos ini.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim (gambar) berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bagi memberi penjelasan dan berbincang mengenai masa depan generasi muda yang mempunyai hak dan tanggungjawab menentukan kepimpinan negara.

Untuk itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, jentera kempen sayap UMNO itu akan digerakkan mulai Ahad ini.

''Saya menjangkakan kempen pilihan raya kecil itu berjalan dalam suasana sederhana kerana menghormati bulan Ramadan tetapi kita akan tetap mengadakan perjumpaan dengan semua pengundi terutama golongan atas pagar.

''Kita akan bangkitkan semua isu semasa kerana apa yang berlaku hari ini dilihat telah menyentuh kerukunan negara secara langsung," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program Sekolah Pelayaran Monsun anjuran Monsoon Cup di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Monsoon Cup, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Klinik sukan itu dijalankan selama empat hari bermula hari ini di Pusat Maritim Putrajaya di sini.

Mengenai program Sekolah Pelayaran Monsun pula, beliau menyifatkan ia suatu usaha yang baik bagi meningkatkan mutu sukan air di negara ini.

No comments: