Saturday, August 15, 2009

Penduduk harap henti jual arak berkekalan

Penduduk harap henti jual arak berkekalan

SHAH ALAM 14 Ogos - Penduduk Seksyen 8 di sini berasa lega apabila penjualan minuman keras di kedai serbaneka di situ sudah diberhentikan sejak pelbagai desakan disuarakan.

Bagaimanapun, mereka berharap langkah itu bukan bersifat sementara iaitu sekadar untuk mengaburi mata penduduk sahaja.

Seorang penduduk, Harun Ahmad, 46, berharap, tindakan kedai serbaneka itu berhenti menjual minuman keras adalah satu keputusan yang kekal dan bukan hanya 'hangat-hangat tahi ayam'.

''Baguslah kalau sudah tidak menjual arak, ini bermakna kedai itu prihatin dengan luahan perasaan penduduk di kawasan ini. Kalau boleh janganlah bila isu ini sudah sejuk mula jual balik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Harun menambah, tindakan menghentikan penjualan arak di kawasan itu sepatutnya sudah lama dilakukan kerana 98 peratus penduduknya beragama Islam.

Isu menjual arak di kawasan itu mendapat perhatian apabila sejumlah arak yang dirampas di sebuah kedai serbaneka di situ diarahkan dipulangkan semula baru-baru ini.

Tindakan itu menyebabkan orang ramai marah kerana pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menjalankan tugas untuk menghalang penjualan arak, tetapi ada pihak lain yang masuk campur.

Susulan itu, Menteri Besar mengarahkan pemilik kedai melakukan konsep kawal sendiri penjualan minuman beralkohol di kawasan majoriti penduduk Islam.

Bekas Ahli Jawatankuasa Surau Seksyen 8, Abu Bakar Hamzah, 57, berharap kawasan itu bebas sepenuhnya daripada penjualan minuman keras atau bir kerana jika dibiarkan ia boleh merosakkan akhlak belia Islam.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Abdullah, 47, berkata, pemberhentian jualan itu adalah satu rahmat kepada umat Islam di kawasan tersebut.

Nordin A. Rahman, 51, pula berkata, tindakan kedai serbaneka itu yang sudah tidak menjual dan mempamerkan minuman keras patut dicontohi oleh kedai runcit yang lain.

''Ia akan mendatangkan kebaikan kepada penduduk Selangor amnya kerana ia dapat membantu kerajaan menurunkan kadar kerosakan akhlak di kalangan remaja di negeri ini.

Bagi seorang peniaga, Azlina Alias, 34, tindakan itu menunjukkan pemilik kedai serbaneka berkenaan mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam walaupun matlamat perniagaan untuk meraih keuntungan sebanyak mungkin.

Seorang pekerja swasta, Mohammad Azmir Mohammad Zain, 30, berkata, pembeli yang menentukan permintaan terhadap sesuatu barangan dan dalam hal ini mereka tidak mahu penjualan minuman keras dibuat di kawasan itu.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi pekerja swasta, Romaini Hazizan, 21, bahawa pemberhentian penjualan arak itu sesuai dengan konsep bandar raya ini yang tidak ada unsur hiburan seperti panggung wayang.

Katanya, larangan itu juga sejajar dengan perkembangan kawasan itu yang kini menjadi pusat ilmu menempatkan beberapa pusat pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

No comments: