Saturday, August 15, 2009

Rohaizat calon Barisan Nasional

Rohaizat calon Barisan Nasional




BUKIT MERTAJAM 14 Ogos - Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.

Pemilihan Rohaizat diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dihadapan ribuan penyokong BN di Pusat Operasi BN di Taman Bukit Merah di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Rohaizat menerima pendidikan awal di Sekolah Agama Al-Mashoor Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sehingga tahun 1995.

Sebaik tamat pengajian, Rohaizat mula melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain aktif dalam program-program komuniti termasuk menjadi Setiausaha Kelab Sukan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Rohaizat juga merupakan Pengerusi Koperasi Gerakan Desa Wawasan (GDW) Mengkuang Berhad sejak tahun 2004 selain menjadi Exco Persatuan Homestay Malaysia sejak tahun 2003 dan pernah menjawat Pengarah Penerbitan Direktori Wakil Pilihan Rakyat.

Selain itu, beliau juga dilantik Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sejak tahun 2003.

Rohaizat mula bergiat dalam politik dengan memegang jawatan Ketua Pemuda Cawangan Mengkuang Titi sejak tahun 1996 sebelum menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh dari tahun 1999 hingga 2002.

Hasil perkongsian hidup dengan isteri, Khairul Niza Abdul Kadir, 38, pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM), Rohaizat dikurniakan seorang anak, Aiman Hidayat, 9 tahun.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman, 63, dari Pas pada 31 Julai lalu akibat sakit jantung.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohd. Hamdan, yang menyandang kerusi itu sejak tahun 1999, memperoleh 11,004 undi mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 Ogos ini untuk hari penamaan calon dan 25 Ogos sebagai tarikh pengundian.

DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi termasuk seorang pengundi pos.

No comments: