Beri penjelasan kepada rakyat tentang ISA
IPOH 14 Ogos - Kerajaan disaran memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengelakkan kekeliruan dan tindakan terburu-buru di kalangan masyarakat.
Pengasas Pertubuhan Profesional dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Nonee Ashirin Mohd. Radzi berkata, kurang pengetahuan tentang ISA menyebabkan masyarakat bertindak berdasarkan hasutan pihak-pihak tertentu.
Justeru menurutnya, penjelasan mengenai akta itu penting agar masyarakat memahami tujuan sebenar ia diwujudkan.
"Saya tidak nafikan perlu ada perubahan dalam ISA dan kerajaan telah mengambil tindakan untuk mengkaji semula akta ini mengikut kesesuaian negara.
"Masalah sekarang, jika akta baru dibuat tetapi masyarakat tidak faham, perkara sama akan berulang. Kita perlu tanya golongan yang menentang adakah mereka faham apa itu ISA atau sekadar terikut-ikut rakan-rakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan soal selidik portal berita Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu sebanyak 58 peratus menyokong akta tersebut dikekalkan manakala selebihnya mahu ia dimansuhkan.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan NGO-NGO Wanita Melayu Perak, Datuk Kamilia Ibrahim menyokong tindakan kerajaan mengkaji semula ISA.
Namun katanya, kajian itu perlu mengikut kesesuaian semasa dan bukan kerana desakan pihak-pihak tertentu.
"Kewujudan ISA adalah di bawah peruntukan perlembagaan dan sudah agak lama. Kajian semua undang-undang ini perlu dengan kesesuaian semasa.
"Tetapi ia perlu difikirkan dengan teliti dan bukan dibuat atas desakan pihak tertentu semata-mata," ujarnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment