Saturday, August 15, 2009

Forum terus desak Jeff Ooi minta maaf

Forum terus desak Jeff Ooi minta maaf

PULAU PINANG 14 Ogos - Forum Penyelarasan Umat (Forum) terus mendesak Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi meminta maaf berhubung kenyataannya mengaitkan syariah Islam dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai ekstremis.

Ahli Jawatankuasa Forum, Muhammad Hafiz Nordin berkata, pihaknya amat kesal kerana Ooi terus bersikap angkuh dan enggan mengakui kesalahannya yang menyinggung perasaan umat Islam.

''Kami kesal kerana beliau enggan meminta maaf sebaliknya cuba mengelak dengan isu ini. Penarikan kenyataannya tanpa permohonan maaf menggambarkan seolah-olah tidak mahu mengakui kesilapannya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini

Pada 2 Ogos lalu, dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Ooi mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremisme

Ooi juga mendakwa Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd. Razali Abdullah yang juga ahli JIM mempunyai misi membentuk Malaysia sebagai negara yang akan menerima pakai undang-undang syariah sepenuhnya menjelang 2020 hanya kerana menjadi ahli JIM.

Tindakan Ooi itu menyebabkan pelbagai pihak menghantar memorandum mendesak beliau meletak jawatan dan meminta maaf.

Bagaimanapun, pada 9 Ogos lalu Ketua Staff Pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu dalam sidang akhbarnya tetap dengan pendiriannya tidak akan meminta maaf, sebaliknya beliau hanya mahu menarik balik kenyataannya itu.

Menurut Ooi, tindakannya untuk menarik balik kenyataannya itu juga atas nasihat daripada Guan Eng yang mahu dia bertindak demikian.

No comments: