Saturday, August 15, 2009

SPRM tahan pembantu Ronnie Liu

Cubaan SPRM tahan pembantu Exco kecoh

Oleh Johari Ibrahim dan Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my


WONG (duduk) selepas dikatakan berlaku pergelutan ketika hendak ditahan pegawai SPRM, semalam.

Pergelutan berlaku apabila suspek enggan ikut arahan

SHAH ALAM: Cubaan sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pembantu kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Wong Chuan How, 50, di pejabat perkhidmatan wakil rakyat di Sungai Pelek, Sepang, pagi semalam, bertukar menjadi kecoh.

Dalam kekecohan jam 10 pagi itu, Wong cedera di kaki dan selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sedang dia mengadu sakit dada.

Kedua-dua pihak membuat laporan polis berikutan insiden itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata kekecohan berlaku apabila Wong enggan dibawa ke pejabat agensi itu untuk siasatan.

Beliau berkata, sepasukan pegawainya mengunjungi pejabat Wong kira-kira jam 9.45 pagi untuk menahannya berhubung siasatan satu kes rasuah.

"SPRM membacakan amaran bertulis sebelum penahanan dan meminta beliau menandatanganinya tetapi beliau enggan sebaliknya mahu membuat aduan polis.

"Berikutan itu, SPRM terpaksa membawa beliau balik ke pejabat tetapi beliau enggan mengikut menyebabkan berlaku sedikit kekecohan ketika mahu memasuki kereta dan beliau terjatuh," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, selepas kejadian itu, SPRM membenarkan beliau membuat aduan polis selain dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.




SPRM tahan pembantu Ronnie Liu

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pembantu kepada Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu, iaitu Wong Chuan How ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung salahguna peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan 234 projek yang bernilai hampir RM500,000.

Chuan How, ditahan di pejabatnya di pusat khidmat DAP di Sungai Pelek, Sepang dekat sini kira-kira pukul 9.45 pagi ini selepas SPRM mengambil keterangannya.

Difahamkan, sebelum penahanan itu, keadaan menjadi sedikit kecoh apabila Chuan How enggan memberi kerjasama dengan tidak menandatangani notis penahanan serta enggan masuk ke dalam kenderaan SPRM ketika diminta berbuat demikian.

Ahli politik berusia 50 tahun itu juga berpura-pura jatuh ketika menghampiri kereta SPRM dan menuduh pegawai SPRM sengaja menolaknya.

Ekoran tidak berpuas hati, Ahli Majlis Perbandaran Sepang itu ke Balai Polis Sungai Pelek ditemani peguamnya untuk membuat laporan.

Pada masa yang sama, pegawai SPRM terbabit turut membuat laporan berhubung insiden yang sama.

Difahamkan, Chuan How dibawa ke Hospital Serdang dekat sini untuk mendapat rawatan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan penahanan ahli politik itu.

Kes itu, kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung penahanan pembantu ahli politik tersebut.

No comments: