Saturday, May 23, 2009

Zambry kekal MB

Zambry kekal MB

Oleh Khirul Bahri Basaruddin dan Saufi Hamzah
bhnews@bharian.com.my


AHLI Umno Cawangan Tanjung Malim menjulang Zambry sebaik saja mengetahui keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepadanya ketika merasmikan persidangan serentak mesyuarat Umno Cawangan Tanjung Malim di Slim River, semalam.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan ketepi keputusan Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak apabila Mahkamah Rayuan semalam membenarkan rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pemegang sah jawatan itu.

Dalam keputusan sebulat suara, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang mendapati Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Rahim salah dalam membuat tafsiran peruntukan relevan terhadap Undang-undang Tubuh Negeri Perak (UTNP).

"Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan gagal menilai dengan betul dan secukupnya semua keterangan yang ada padanya sehingga membuat keputusan

yang salah," kata Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Mohd Raus dalam keputusan lisannya juga memutuskan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membuat keputusan betul melantik Zambry sebagai Menteri Besar selepas mendapati Mohammad Nizar kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak pada Februari lalu.

"Kami juga berpendapat bahawa keputusan sama ada membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah dalam bidang kuasa Sultan," katanya. Mohd Raus memberitahu peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah pihaknya akan menulis alasan penghakiman dalam tempoh seminggu.

Sulaiman memberitahu mahkamah, anak guamnya akan memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari dan memohon mahkamah menyiapkan alasan penghakiman bertulis secepat mungkin bagi membolehkan rayuan mereka didengar Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah itu juga membatalkan permohonan Mohammad Nizar untuk mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali, menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi selepas diberitahu pemohon ingin menarik balik permohonannya.

Mohd Raus berkata, mereka sependapat bahawa mengikut hak istimewa Sultan Perak, apabila permohonan Mohammad Nizar yang dibuat mengikut Perkara 16 (6) UTNP untuk pembubaran DUN ditolak, beliau mesti meletak jawatan.

"Tiada peruntukan khusus atau mandatori dalam UTNP untuk diadakan undi sokongan majoriti di DUN Perak. Malah, kehilangan sokongan majoriti Mohammad Nizar boleh ditentukan dengan cara lain (tidak hanya melalui undi).

"Sultan Perak betul untuk menjalankan siasatan dan adalah jelas bahawa Mohammad Nizar kehilangan sokongan majoriti di DUN Perak. Oleh itu, Sultan mempunyai hak untuk melantik Zambry sebagai Menteri Besar," katanya.

Peguam Zambry, Datuk Cecil Abraham, berkata anak guamnya akan meneruskan tugas seperti biasa selepas rayuannya dibenarkan.

Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas membenarkan permohonan semakan kehakimannya.

Bagaimanapun sehari kemudian, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sehingga rayuannya diputuskan. Mohammad Nizar kemudian mengemukakan permohonan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.





Zambry kekal Menteri Besar Perak



DOA KESYUKURAN - DR. Zambry Abdul Kadir berdoa sebagai tanda kesyukuran setelah Mahkamah Rayuan di Putrajaya, semalam, menolak keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa beliau Menteri Besar Perak yang sah. Beliau mengetahui keputusan itu ketika menghadiri majlis perasmian serentak cawangan-cawangan UMNO di Slim River.


PUTRAJAYA 22 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Md. Raus Shariff berpuas hati bahawa Sultan Perak betul ketika melantik Zambry menggantikan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 6 Februari lalu.

Dengan itu, mahkamah sebulat suara membenarkan rayuan Zambry terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang mengesahkan sebaliknya terhadap Mohammad Nizar.

Hakim Md. Raus bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Zambry selaku perayu mahupun Mohammad Nizar sebagai responden dalam rayuan itu tidak hadir bagi mendengar keputusan yang mendapat perhatian meluas pihak media dan orang awam.

Hakim Md. Raus ketika membacakan penghakiman itu menyatakan, Sultan Perak betul ketika melantik Zambry berdasarkan Perkara 16(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957 selepas berpuas hati bahawa perayu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menurut beliau, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf mentafsir beberapa peruntukan dalam UTKNP ketika mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah.

Katanya, kegagalan menilai dan meneliti secara terperinci keseluruhan fakta dan dokumen bertulis yang dikemukakan sepanjang perbicaraan menjadikan perintah yang dikeluarkan itu salah dan wajar diketepikan.

Hakim Md. Raus berkata, Perkara 16(6) UTKNP jelas menunjukkan Sultan Perak mempunyai budi bicara mutlak menolak permohonan Mohammad Nizar untuk membubarkan sidang Dewan.

Menurut beliau, dalam menjalankan budi bicara baginda menolak permohonan itu, Mohammad Nizar bersama-sama barisan Exconya harus meletak jawatan.

Jelasnya, tiada keperluan mendesak dalam UTKNP yang menyatakan bahawa usul tidak percaya perlu dibentangkan terhadap Mohammad Nizar dalam persidangan Dewan.

''Berdasarkan kepada fakta yang dibentangkan ketika perbicaraan, jelas bahawa Mohammad Nizar telah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan,'' katanya.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa Sultan Perak betul ketika menjalankan sesi temu bual bagi memastikan Mohammad Nizar benar-benar kehilangan sokongan majoriti ADUN sebelum membuat keputusan menolak permohonannya membubarkan Dewan.

Zambry merayu terhadap perintah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Mohammad Nizar, 52, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Abdul Aziz membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan persidangan Dewan.

Alasan-alasan penghakiman Hakim Abdul Aziz antara lain menyatakan Mohammad Nizar masih Menteri Besar yang sah kerana tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya.

Selain itu, Perkara 16(6) UTKNP tidak menyatakan bahawa seseorang Menteri Besar boleh dipecat atau jawatan itu boleh dikosongkan dalam keadaan Mohammad Nizar tidak meletak jawatan.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali membenarkan permohonan Zambry agar perintah Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara menunggu rayuan penuh diputuskan.

Mohammad Nizar yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan selanjutnya mengemukakan permohonan untuk mengetepikan perintah penangguhan yang diperoleh Zambry.

Panel hakim yang bersidang hari ini menolak permohonan tersebut.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan, peguam Sulaiman Abdullah memberitahu, pihaknya diarahkan memfailkan kebenaran untuk merayu keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau memohon agar mahkamah menyediakan penghakiman bertulis secepat mungkin bagi membolehkan pihaknya memfailkan notis kebenaran merayu.

Hakim Md. Raus memberi jaminan akan menyiapkan penghakiman penuh keputusan itu dalam tempoh seminggu.

Peguam Datuk Cecil Abraham mewakili Zambry manakala Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah bagi pihak Kerajaan Malaysia.

No comments: