SPR cadang guna sistem biometrik
BUTTERWORTH 22 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang menggunakan sistem pengenalan data pengundi atau sistem biometrik pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, sistem itu lebih tepat kerana menggunakan kesan cap jari pengundi yang tidak memungkinkan dua individu mempunyai cap jari yang sama.
Katanya, sistem itu juga dilihat dapat menyelesaikan masalah pengundi yang masih belum menukar kad pengenalan lama kepada MyKad.
Katanya, SPR juga percaya sekiranya sistem tersebut digunakan, ia dapat mengikis isu pengundi hantu setiap kali pilihan raya.
"Kita sedang memikirkan untuk menggunakan sistem biometrik ini dalam pilihan raya umum akan datang.
''Namun, sistem ini masih lagi dalam peringkat kajian," katanya pada sidang akhbar mengenai hari penamaan calon pilihan raya kecil Penanti di sini hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dahulu, Jabatan Imigresen yang terletak di bawah kementerian itu menggunakan sistem biometrik dan ia berkesan untuk pengenalan data individu.
Biometrik ialah pengenalan daftar pengundi melalui cip yang terdapat dalam MyKad pengundi.
Dengan kaedah itu, pengundi cuma perlu meletakkan MyKad dalam sistem pengimbas biometrik sebelum masuk ke dewan pengundian dan sistem berkenaan dikatakan boleh membanteras penipuan seperti 'pengundi hantu'.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, SPR juga sedang mengkaji untuk memanjangkan tempoh bagi penamaan calon pilihan raya akan datang.
Jelasnya, cadangan itu disebabkan tempoh selama satu jam untuk tujuan itu dirasakan terlalu pendek dan menyebabkan pegawai SPR berada dalam keadaan terdesak.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment