Saturday, May 23, 2009

Kebenaran akhirnya sudah tiba: Zambry

Kebenaran akhirnya sudah tiba: Zambry


SLIM RIVER: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersyukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan menerima permohonan beliau mengetepikan perisytiharan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai "kebenaran telah tiba".

"Saya bersyukur kepada Allah SWT dan rasa rendah diri serta tawaduk dengan keputusan mahkamah itu, seperti juga ketika saya menerima keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

"Saya sering kali percaya bahawa ketika kemelut melanda, kebenaran akhirnya akan tiba," katanya berucap di hadapan kira-kira 1,000 ahli Umno cawangan Tanjung Malim di sini, semalam.

Beliau hadir bagi merasmikan persidangan serentak mesyuarat Umno Cawangan Tanjung Malim yang diadakan di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di sini, semalam.

Zambry mengetahui mengenai keputusan itu pada jam 3.50 petang apabila beliau dimaklumkan oleh seorang daripada peguamnya di Putrajaya melalui sistem pesanan ringkas (SMS); "We Won" (Kita menang), sebelum memulakan ucapan perasmiannya.

Sebaik mengetahui keputusan itu, Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Talib merangkap Adun Slim memaklumkan kepada ahli Umno yang hadir dan mereka bersorak gembira sambil melaungkan `Hidup Umno' dan `Hidup Zambry'.

Sehubungan itu, Zambry mahu pembangkang akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan, seperti beliau menerima keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Zambry berkata, dengan keputusan itu, ahli Umno dan BN Perak perlu kembali memperkuatkan parti dan meneruskan agenda pembangunan kepada rakyat.

Mengenai kemungkinan pakatan pembangkang akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan sebagai usaha terakhir mereka, katanya, itu adalah hak mereka asalkan ia mengikut proses dan lunas undang-undang.

Pada sidang medianya selepas itu, Dr Zambry berkata, beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar bagi memastikan pembangunan di Perak terus berjalan rancak dan tidak tergendala.

Sementara itu, Mohammad Nizar akur dengan keputusan sebulat suara panel hakim Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.







'Hormati keputusan'

SLIM RIVER 22 Mei - Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir melahirkan rasa syukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan berharap pakatan pembangkang turut menghormati keputusan proses perundangan yang sedang berjalan itu.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah meneruskan tugas pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan kestabilan dan program pembangunan ekonomi di negeri ini dapat berjalan dengan baik.

''Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah dengan rasa tawaduk saya terima keputusan ini, seperti juga apabila saya dimaklumkan keputusan Mahkamah Tinggi (yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah), saya hormati keputusan Mahkamah Rayuan.

''Saya hendak meneruskan kerja saya dan tugas-tugas pentadbiran kerana itu lagi penting, saya tidak mahu terganggu dari apa yang saya patut buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak Persidangan UMNO Cawangan Bahagian Tanjung Malim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang sebulat suara mengisytiharkan dirinya sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berharap, semua pihak termasuk pakatan pembangkang menghormati keputusan perundangan itu bagi memastikan kestabilan dan keamanan di Perak kerana ia adalah suasana yang dimahukan oleh rakyat.

''Biarlah semua hormati proses perundangan dan jangan gunakan medan ceramah untuk mengherdik dan menafikan keputusan yang dibuat seperti yang mereka (pakatan pembangkang) lakukan.

''Pendirian saya jelas dari awal lagi, saya tidak beri komen sebaliknya terhadap keputusan mahkamah dan pendirian itu tetap sama sehingga sekarang," katanya.

Ditanya sekiranya kes itu berlarutan ke Mahkamah Persekutuan, beliau berkata, biarlah ia berjalan mengikut proses perundangan dan tidak dimanipulasikan dengan mengambil kesempatan memberikan komen tidak membina terhadap keputusan yang dibuat.

Terdahulu, lima minit sebelum majlis perasmian itu bermula pada pukul 4 petang, Dewan Tan Sri Ghazali Jawi bergema dengan sorakan gembira 'Hidup UMNO' dan 'Hidup Zambry' sebaik keputusan Mahkamah Rayuan itu diketahui oleh kira-kira 1,000 ahli UMNO Bahagian Tanjung Malim yang hadir.

Mereka seperti dapat mengagak keputusan tersebut memihak kepada Zambry selepas melihat Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Talib bersalaman dengan Menteri Besar Perak itu di atas pentas sebaik Zambry menunjukkan kandungan khidmat pesanan ringkas yang diterima daripada peguamnya kepada Khusairi.

Suasana dewan bertambah meriah selepas Khusairi pula tampil mengumumkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Ekoran keputusan gembira itu, Khusairi yang sepatutnya memberikan ucapan aluan pada majlis itu tidak berbuat demikian bagi memberikan laluan kepada Zambry untuk berucap yang mengambil masa selama sejam.

Dalam ucapannya, Zambry banyak menyentuh mengenai krisis politik di Perak terutamanya tindakan pakatan pembangkang yang mengadakan ceramah merata-rata menaburkan fitnah untuk membohongi rakyat.

Beliau turut menempelak sikap pakatan pembangkang yang memuji sistem perundangan sebagai adil dan bagus apabila keputusan berpihak kepada mereka tetapi apabila sebaliknya, ia dikatakan sebagai zalim.

No comments: