Saturday, May 23, 2009

SPR bincang DUN Manik Urai Khamis

SPR bincang DUN Manik Urai Khamis

Oleh Anwar Hussin dan Wan Faizal Ismayatim
bhnews@bharian.com.my


Ismail Yaacob

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Khamis ini untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan, yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob, semalam.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mesyuarat akan diadakan pada hari berkenaan jika surat makluman kekosongan kerusi itu dihantar Speaker DUN Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud pada Isnin ini.

“Mesyuarat itu dijangka bermula jam 10 pagi dan SPR akan memaklumkan pada hari sama mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian, jika ada pertandingan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, Mohd Nassuruddin memberitahu pemberita, pihaknya dijangka memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi DUN Manik Urai itu pada Isnin untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Notis makluman itu hanya boleh dihantar kepada SPR pada Isnin ini kerana semalam dan hari ini adalah cuti hujung minggu di Kelantan, manakala Ahad pula cuti hujung minggu di ibu negara.

Ismail, 60, daripada Pas mula memenangi kerusi DUN Manik Urai pada pilihan raya umum 1985. Beliau meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ-II), Kota Bharu kira-kira jam 5.55 pagi kerana sakit jantung selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 26 April lalu.

Isterinya, Siti Zaharah Ibrahim, 58, ketika ditemui di Kota Bharu semalam berkata, suaminya mengalami masalah jantung sejak kira-kira empat tahun lalu, selain menghidap gout dan darah tinggi.

“Sejak mengalami sakit jantung, Allahyarham sering menjalani rawatan dan pagi tadi (semalam) beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi saya dan dua anak kami,” katanya yang dikurniakan 11 anak, hasil perkongsian hidup dengan Ismail.

Jenazah Allahyarham dibawa dari HRPZ-II ke rumahnya di Manek Urai Lama, dekat sini sebelum disembahyangkan di masjid berdekatan dengan diimamkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas solat Jumaat.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manek Urai Lama pada kira-kira jam 2.30 petang semalam. Kira-kira 1,000 penduduk sekitar dan pemimpin Pas tempatan menghadiri pengebumian beliau.

Allahyarham adalah antara wakil rakyat Pas paling lama di Kelantan apabila menjadi Adun Manek Urai selama lima penggal sejak 1985. Hanya pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau tidak mempertahankan kerusi itu, sebaliknya diwakili Zamzuri Mat Lazim, yang tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohamed Zulkifli Omar, dengan majoriti 53 undi.

Ismail yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Krai, dipilih semula bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum 2008, dan berjaya menewaskan Mohamed Zulkifli dengan majoriti 1,352 undi.

DUN N41 Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut menempatkan DUN Dabong, Guchil serta Mengkebang.




Tarikh mengundi diumum 28 Mei

PUTRAJAYA 22 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Khamis depan untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manek Urai yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob pagi ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, mesyuarat akan diadakan pada hari berkenaan sekiranya surat pemakluman mengenai kekosongan dihantar Isnin ini.

''Mesyuarat dijangka bermula pada pukul 10 pagi dan SPR akan memaklumkan pada hari sama mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Speaker DUN Kelantan Mohd. Nassuruddin Daud hari ini berkata, kekosongan kerusi DUN Manek Urai akan dimaklumkan kepada SPR Isnin ini.

Ismail, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini kira-kira 5.55 pagi ini kerana sakit jantung selepas dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan sejak bulan lepas.

Beliau yang mewakili Pas mula memenangi DUN Manek Urai pada pilihan raya umum 1985.

No comments: