DUN Perak tidak akan dibubar
KUALA LUMPUR 22 Mei - Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan tunduk dengan kehendak pakatan pembangkang supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin berkata, ini kerana kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah diputuskan sebagai sah.
"Mahkamah telah mengesahkan bahawa kerajaan BN di Perak adalah sebuah kerajaan yang sah, jadi apa kewajarannya pada peringkat ini ia perlu dibubarkan, sekiranya tiada Menteri Besar itu cerita lain. Itu pandangan mereka (pembangkang).
"Saya berpendapat dengan keputusan mahkamah ini, maka tiada keperluan untuk dibubarkan DUN kerana apa yang penting BN perlu memikul amanah yang diberikan oleh rakyat supaya kita mentadbir negeri dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan parti pembangkang supaya DUN Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula.
Sementara itu, mengulas keputusan Mahkamah Rayuan di sini hari ini yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar yang sah, Muhyiddin berkata, keputusan itu jelas menunjukkan langkah yang diambil oleh BN adalah selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.
Beliau berharap dengan keputusan itu yang menjadi petanda berakhirnya kemelut Perak akan dihormati dan diterima dengan hati terbuka oleh pembangkang.
Katanya, keputusan itu juga memberi peluang kepada Zambry menjalankan tugasnya sebaik mungkin tanpa lagi diganggu sehingga boleh membantutkan pentadbiran dan menjaga kebajikan penduduk.
"Ia telah disahkan oleh mahkamah, jadi tidak perlu diungkitkan lagi, BN sebelum ini menerima keputusan sama ada menyebelahi kita atau tidak dengan hati terbuka dan menghormatinya.
"Amat tidak wajar jika pembangkang berkempen mempertikaikan keputusan itu, saya harap tidak begitulah kerana memberi implikasi menghina mahkamah dan juga akan menimbulkan kesangsian dan kekeliruan di kalangan rakyat," katanya.
Muhyiddin berkata, Zambry kini memikul tugas amat berat untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat Perak terhadap BN selain meneruskan usaha pembangunan dan kebajikan penduduk yang telah tertangguh sejak beberapa bulan lalu akibat kemelut itu.
"Harapan saya kepada rakyat Perak untuk menerima keputusan ini, jaminan BN adalah untuk mengutamakan kepentingan dan kebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira sebarang perbezaan kaum dan fahaman politik.
"Jangan lagi persoalkan tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebelum ini kerana semua yang baginda buat adalah betul dan selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak," katanya.
habis
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment