PBPM bantah bawa pulang Chin Peng
KUALA LUMPUR 22 Mei - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) membantah saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan supaya kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke Malaysia.
Pemangku Presidennya, Ku Mohamad Khalib Tuan Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak seharusnya membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini, walaupun atas dasar kemanusiaan.
''Kesan tindakan Chin Peng terhadap negara memberi sejarah pahit terutama sekali kepada bekas-bekas polis yang mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis pada ketika itu,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta agar pemimpin Gerakan itu tidak buta sejarah dan menginsafi apa yang dilakukan Chin Peng sehingga menyebabkan keganasan komunis pada ketika itu.
Katanya, akibat keganasan dan perbuatan kejam Chin Peng, negara menjadi huru-hara, ramai isteri menjadi balu, anak kecil menjadi yatim piatu serta ibu kehilangan tempat mengadu.
Menurutnya, PBPM menyokong kerajaan dalam mengamalkan sikap terbuka dan bertimbang rasa serta dasar yang agak liberal, namun cadangan pemimpin Gerakan itu tidak dapat diterima kebanyakan pihak.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment