Saturday, May 23, 2009

Keputusan bukan luar biasa

Keputusan bukan luar biasa

SEREMBAN 22 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah bukan sesuatu yang mengejutkan atau luar biasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, ini kerana keputusan mahkamah itu memihak kepada parti yang benar-benar berhak iaitu mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Menurutnya, melalui sistem demokrasi, pihak yang memperoleh sokongan majoriti di DUN atau Parlimen memiliki kuasa untuk mentadbir negeri mahupun negara.

"Mereka yang mempunyai majoritilah yang patut mentadbir negeri atau negara. Sama ada kita mahu bubar Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen, itu terpulanglah.

"Keputusan (sebelum ini) yang memihak kepada pihak minoriti bukanlah yang terbaik. Sebab itu, bagi saya keputusan Mahkamah Rayuan memang tepat dan tidak mengejutkan," kata beliau di sini hari ini.

Mohamad mengulas keputusan Mahkamah Rayuan petang ini yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu yang memutuskan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Sebaliknya, tiga orang hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang sebulat suara memutuskan bahawa Zambry adalah menteri besar yang sah.

Ditanya berkemungkinan kes itu berlanjutan sehingga tuntutan dibuat ke peringkat Mahkamah Persekutuan, Mohamad menjelaskan, sebenarnya ada pihak yang menyalahgunakan sistem demokrasi dan sistem perundangan.

"Kita terlupa kepentingan rakyat. Sekarang sepatutnya masa untuk kita buat kerja, kita berikanlah tumpuan dalam aspek itu," kata beliau.

Mengenai pilihan raya kecil di Manek Urai, Kelantan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Ismail Yaacob, 60, pagi tadi, Mohamad berkata, Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk meletakkan calonnya kelak.

"Kekosongan ini disebabkan penyandang meninggal dunia, bukan seperti di Penanti yang mana parti pembangkang mempermain-mainkan sistem demokrasi, jadi di Manek Urai, BN pasti bertanding," katanya.

No comments: