Saturday, May 23, 2009

SPRM bebas siasat politik wang Pas

SPRM bebas siasat politik wang Pas
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Pas sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk menyiasat dakwaan bahawa berlaku gejala rasuah dalam parti itu menjelang pemilihan parti berkenaan bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata Pas bersedia menerima kehadiran pegawai SPRM mengenai perkara itu, walaupun Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum ini sudah menegaskan parti itu bebas rasuah.

“SPRM bebas untuk masuk campur dalam hal ini dan kita sedia untuk disiasat, Pas tidak takut dan kita tidak menyembunyikan sesuatu. Kerana kita tahu seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini Pas bebas politik wang dan kita tidak bimbang dengan siasatan SPRM.

“Malah kita tidak terkejut pun dengan pengumuman SPRM untuk memanggil Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi. Tetapi ada perkara yang kita suruh mereka siasat sebelum ini, tetapi ia tidak disiasat pun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sebelum ini, Mohamed Daud dipanggil oleh Jawatankuasa Harian Pas Pusat supaya memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau yang mendakwa wujudnya politik wang dalam parti itu menjelang muktamar tahunan parti itu bulan depan.

Bagaimanapun, Pas mengambil keputusan beliau tidak akan dikenakan sebarang tindakan disiplin kerana mengeluarkan kenyataan demikian.

No comments: