Pembangkang mahu DUN Perak dibubarkan
IPOH 22 Mei - Pakatan pembangkang mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kerana mendakwa kemenangan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Mahkamah Rayuan tidak akan mewujudkan kestabilan politik di negeri ini.
Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang berkata, pergolakan politik akan terus berlaku selagi DUN tidak dibubarkan dan kuasa menentukan kerajaan negeri dikembalikan kepada rakyat.
''Kalau Zamby mahukan politik negeri ini stabil, dia perlu membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya diadakan dan biarlah rakyat yang menilainya.
''Saya percaya kalau keadaan ini berterusan, kerajaan negeri tidak akan stabil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Mahkamah mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah dan mengetepikan keputusan itu.
Ahmad berkata, walaupun pihaknya akur dengan keputusan mahkamah tetapi rakyat negeri ini lebih berhak dalam membuat keputusan.
Dalam masa sama katanya, pakatan pembangkang tetap tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan BN negeri ini.
''BN hanya mempunyai 28 kerusi DUN dan pakatan pembangkang juga 28 manakala tiga lagi adalah Bebas, patut diadakan pilihan raya," katanya.
Beliau berharap kerajaan BN akan bertindak menamatkan krisis politik yang berlaku menerusi pembubaran DUN supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan segera demi kepentingan rakyat.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment