Saturday, May 23, 2009

‘Perlu masa tarik sokongan rakyat’

‘Perlu masa tarik sokongan rakyat’


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) memerlukan masa bagi menarik sokongan rakyat dengan melakukan perubahan yang membawa kebaikan kepada semua pihak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, daya penarik atau ‘wow faktor’ seperti yang dinyatakannya sebelum ini tidak hadir sekelip mata tapi melalui kerja kuat setiap pihak dalam BN.

“Wow faktor bukan boleh dibuat sekelip mata, kalau di sini ada tongkat sakti, pinjamkan kepada saya, saya akan kata jadilah maka jadilah ia.

“Sebenarnya yang saya maksud adalah cara kita uruskan, rakyat faham kerajaan tidak tidur tetapi kerajaan menguruskan isu utama seperti ekonomi, pendidikan, sosial, kebajikan dan kemiskinan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan selama tiga jam di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan.

Muhyiddin turut menafikan dakwaan blogger kononnya kerajaan kini dalam keadaan tertekan berikutan keadaan politik semasa.

“Laman blog dikuasai individu yang tidak mewakili masyarakat keseluruhan. Kenapa kerajaan perlu tertekan. Kerajaan perlu terus menjalankan tugas demi kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee sebagai Setiausaha Kehormat Umno Wilayah Persekutuan, Ketua bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Azim Zabidi, bendahari dan ketua bahagian Wangsa Maju, Datuk Shafie Abdullah Ketua Penerangan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan turut mengumumkan 10 sekretariat bagi menyelesaikan masalah semua kaum di Wilayah Persekutuan.

Sekretariat berkenaan adalah Penerangan, Tugas-tugas Khas, Badan Bukan Kerajaan, Belia dan Orang Muda, Kebajikan, Peniaga Kecil, Latihan, Keahlian, Perhubungan Awam dan Perumahan dan Kependudukan.

“Wilayah Persekutuan adalah wilayah kosmopolitan dan paling maju, Kita lihat pentingnya Wilayah Persekutuan terus dimajukan dan rakyatnya mendapat pembelaan. Kita akan memberi tumpuan melalui sekretariat itu, bukan saja menangani masalah Melayu, malah kaum lain,” katanya.

Muhyiddin berkata, Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan akan membuat penilaian mengenai sokongan masyarakat Melayu terhadap Umno di bandar.







Bawa faktor 'wow' perlu masa

KUALA LUMPUR 22 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak mempunyai tongkat sakti yang boleh menjadikan usaha membawa faktor 'wow' kepada parti dan kerajaan berlaku dalam sekelip mata.

Sebaliknya menurut Timbalan Perdana Menteri, usaha tersebut memerlukan masa dan apa yang lebih penting kini, rakyat sudah mula melihat bahawa kerajaan adalah pragmatik dalam menguruskan cabaran yang dihadapi negara.

''Rakyat faham yang kerajaan bukan tidur, kerajaan urus isu-isu utama termasuk ekonomi. Perdana Menteri beri fokus dan saya pun membantu beliau. Kepentingan pendidikan, soal sosial, kebajikan dan kemiskinan, ini kita uruskan.

''Yang dikatakan 'wow' itu ialah bila sudah lihat ada peningkatan, orang kata 'wow' betullah, berkesanlah. Jadi beri masa,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO ditanya mengenai faktor 'wow' atau penarik yang dilihat masih belum dirasai kebanyakan pihak terhadap kerajaan dan parti.

Sewaktu musim pemilihan parti tidak lama dahulu, Muhyiddin pernah menyatakan yang UMNO perlu mempunyai faktor 'wow' bagi mengembalikan daya tarikan rakyat.

Mengulas mengenai dakwaan penulis blog pembangkang bahawa kerajaan hari ini dilihat tertekan, Muhyiddin berkata, isu tersebut tidak pernah timbul dan kerajaan hari ini mahu meneruskan amanah dan tanggungjawab yang ada.

Kata beliau, tidak ada sebab untuk kerajaan gusar atau tertekan kerana Perdana Menteri menjalankan tugas dengan baik dan dasar-dasar untuk meningkatkan ekonomi mula menunjukkan hasil.

''Malah ada pakar ekonomi unjurkan pertumbuhan positif pada hujung tahun atau awal tahun depan dan saya kira banyak lagi yang berada dalam saku Perdana Menteri bakal diumumkan dari fasa ke fasa.

''Feel good factor sudah mula terasa, jadi apa sebab kita nak tertekan. Kita nak jalankan tugas. Dan saya fikir cabaran memang besar, fokus utama nak pulih ekonomi, pulih keyakinan rakyat," katanya.

''Selepas itu meneruskan usaha-usaha yang diperlukan rakyat, membela yang miskin membantu yang tiada pekerjaan, banyak urusan lagi, saya fikir itu yang lebih utama,'' jelasnya.

Tambah Muhyiddin, Perdana Menteri sendiri walaupun hanya baru sebulan lebih menjawat jawatan berkenaan telah membuka mata banyak pihak termasuk konsep Satu Malaysia.

Katanya, beliau percaya jika lebih banyak masa diberi untuk menilai kerajaan, maka kerajaan akan mampu memperkenalkan banyak lagi langkah untuk kesejahteraan rakyat.

''Beri masa sebulan lagi, pelbagai langkah akan diumum, bukan sahaja soal perniagaan, tetapi urusan-urusan lain juga.

''Ini pastinya akan dilihat sebagai langkah proaktif yang berkesan, bukan dibuat secara tidak berasas tetapi pada bumi yang nyata. Ini kita akan ambil, Insya-Allah jangan kita bimbang,'' ujarnya.

habis

No comments: