Saturday, May 23, 2009

Pas usah terlalu yakin - Muhyiddin

Pas usah terlalu yakin - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 22 Mei - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pemimpin Pas supaya tidak terlalu yakin dapat mempertahankan kerusi DUN Manek Urai yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakob hari ini.

Beliau berkata, UMNO pasti tidak akan memberikan laluan mudah kepada Pas apatah lagi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan hanya tewas dengan kira-kira 1,000 undi sahaja pada pilihan raya umum lalu.

''Walaupun begitu, kita yakin ini peluang untuk pengundi di DUN Manek Urai meneliti apa yang BN telah lakukan.

''Dan Pas pula jangan terlalu yakin yang ini (DUN Manek Urai) kawasan mereka dan mereka akan menang sentiasa. Kita akan bertanding di situ, Insya Allah,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Wilayah persekutuan di sini hari ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali mencadangkan supaya BN tidak bertanding di kerusi berkenaan kerana Pas yakin mampu mempertahankannya kerana ia parti itu menguasainya sejak sekian lama.

Menurut Mustafa, justeru beliau amat berharap BN dapat menerima cadangan ini kerana ini membantu menjimatkan kos sedangkan jika BN memutuskan sebaliknya, ramai boleh menjangkakan parti mana yang akan menang.

Ismail meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu kira-kira 5.55 pagi tadi selepas dimasukkan ke hospital tersebut untuk menerima rawatan sejak bulan lepas akibat sakit jantung.

Ismail yang mewakili PAS mula memenangi kerusi DUN Manek Urai pada pilihan raya umum 1985.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak mempertahankan kerusi tersebut, sebaliknya Pas diwakili oleh Zamzuri Mat Lazim dan parti itu tewas kepada BN.

Namun Ismail dipilih semula bertanding di DUN berkenaan pada pilihan raya umum tahun lalu dan menewaskan calon BN, Mohamed Zulkifli Omar yang juga penyandang dengan majoriti 1,352 undi.

Mengulas mengenai cadangan Mustafa itu, Muhyiddin berkata, tidak ada sebab untuk BN tidak meletakkan calon di DUN Manek Urai seperti mana yang dilakukan di kerusi DUN Penanti.

Beliau berkata, BN dalam hal ini pasti akan bertanding kerana situasi di DUN Manek Urai adalah berbeza dengan apa yang berlaku di DUN Penanti.

''Ini (DUN Manek Urai) adalah kekosongan yang berlaku atas dasar Rahmatullah (kematian), bukan kerana atas dasar sengaja nak berhenti macam di Penanti.

''Maka atas prinsip itu saya berpendapat UMNO akan bertanding di kawasan itu,'' jelasnya.

Muhyiddin pada sidang akhbar tersebut turut mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ismail.

No comments: