Saturday, May 23, 2009

6 tawar diri bela masyarakat Melayu

6 tawar diri bela masyarakat Melayu
Oleh Fazli Abdullah dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my

GEORGETOWN: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dijangka menyaksikan pertandingan enam penjuru, termasuk seorang ahli Umno dan Gerakan yang menawarkan diri sebagai calon Bebas.

Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Tasek Gelugor, Datuk Muhammad Mustaffa Idrus, 53, dan Ahli Gerakan bahagian Permatang Pauh, Nai Khan Ari, 41, mengesahkan akan bertanding atas tiket Bebas.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mempertaruhkan Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, untuk mempertahankan kerusi dikosongkan oleh Mohammad Fairus Khairuddin, 16 April lalu.

Dua lagi calon yang menyuarakan hasrat bertanding ialah bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah dan ahli perniagaan, Mohd Saberi Othman. Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) juga mengesahkan akan meletakkan calon.

Jangkaan pertarungan enam penjuru itu dikuatkan lagi dengan pengesahan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pulau Pinang, Mohd Faiz Syazwan Zainal Abidin bahawa enam borang pencalonan dibeli sehingga tengah hari semalam.

Barisan Nasional (BN) membuat keputusan tidak meletak calon kerana tidak mahu terperangkap dalam permainan politik PKR.

Sebelum ini, Parti Rakyat Malaysia juga menyuarakan hasrat meletakkan calon tetapi menarik balik cadangan itu dengan membuat keputusan untuk menyokong PKR.

SPR menetapkan hari ini untuk penamaan calon dan 31 Mei untuk pengundian.

Sementara itu, bercakap kepada Berita Harian, Muhammad Mustaffa berkata, keputusannya menawarkan diri bertanding atas tiket Bebas tiada kaitan dengan Umno, sebaliknya atas kemahuannya sendiri.

Muhammad Mustaffa berkata, beliau terpanggil menawarkan diri kerana mahu membantu masyarakat Melayu di Penanti.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan, mengesahkan Nai adalah ahli parti itu.




Pertandingan empat penjuru?

BUKIT MERTAJAM 22 Mei - Pilihan raya kecil Dewan Undangan negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon bebas.

Setakat hari ini, tiga individu sudah mengesahkan akan bertanding atas tiket bebas untuk bersaing bersama calon PKR, Dr. Mansor Osman yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang.

Calon bebas berkenaan ialah bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah; ahli perniagaan, Mohd. Saberi Othman dan seorang pengurus kilang berketurunan Siam, Nai-Khan Ari.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Penanti, Roslan Yahya yang dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan, keempat-empat individu berkenaan sudah tampil membayar deposit calon sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Beliau bagaimanapun berkata, pencalonan masih lagi dibuka dan tidak mustahil ada lagi individu yang akan tampil menawarkan diri sebagai calon.

''Setakat ini sudah ada empat individu yang mengesahkan diri untuk bertanding dan sudah pun membayar deposit masing-masing sehingga petang ini.

''Kita tidak tahu kalau ada lagi individu yang mahu menawarkan diri sebagai calon kerana difahamkan borang pencalonan yang diambil adalah lebih daripada empat," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR pada 16 April lalu, dengan alasan ingin melanjutkan pelajaran.

Kawasan pilihan raya DUN Penanti mempunyai 15,384 pengundi terdiri daripada 72.68 peratus Melayu, 24.22 peratus (Cina), 2.39 peratus (India) dan 0.71 peratus (lain-lain bangsa).

Proses penamaan calon akan berlangsung esok di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam dan hari pengundian pada 31 Mei.

No comments: