Pemimpin UMNO, BN lega dapat tumpu tugas
IPOH 22 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah hari ini memberi kelegaan kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri ini.
Beberapa pemimpin UMNO ketika dihubungi di sini hari ini mengakui mereka berasa gembira dan bersyukur dengan keputusan itu kerana selepas ini boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas membantu rakyat.
Setiausaha Perhubungan UMNO Perak, Datuk Ramli Zahari berkata, beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) berasa lega dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada Zambry.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri berkata, keputusan itu memudahkan mereka merancang strategi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa diganggu oleh masalah politik.
''Kita juga amat menyanjungi institusi kehakiman yang telus dan adil semasa membuat keputusan mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry sebagai Menteri Besar yang sah.
''Saya mewakili ADUN BN berharap ADUN dari parti pakatan pembangkang menghormati keputusan dibuat oleh Mahkamah Rayuan hari ini," katanya.
Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perak, Abashah Othman berkata, keputusan mahkamah yang memihak kepada Zambry sekaligus mengakhiri kemelut politik di Perak.
''Selama tiga bulan, kita sibuk berpolitik sehingga kadang-kadang hilang masa untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja membantu rakyat.
''Kini, kita boleh bekerja semula tanpa sebarang halangan, malah ia memberi peluang kepada kita untuk menumpukan sepenuh perhatian bagi menghadapi pilihan raya kecil di Kelantan nanti," katanya.
Ketua Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed pula berharap parti pakatan pembangkang tidak lagi mempersoalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
''Saya harap selepas ini tidak timbul lagi soal hakim tidak adil dan tidak betul membuat keputusan.
''Semua pihak termasuk pembangkang harus menerima keputusan ini dan Puteri UMNO Perak berazam bekerja bersungguh-sungguh membantu rakyat selepas keadaan politik kembali stabil," ujarnya.
Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, krisis politik yang berlaku sebelum ini telah menganggu kerajaan BN menjalankan tugas pentadbiran.
''Selepas ini, Exco kerajaan negeri dapat menumpukan perhatian kepada tugas meningkatkan taraf ekonomi dan pembangunan di Perak yang sudah tiga bulan tergendala gara-gara diganggu oleh isu jawatan Menteri Besar.
''Saya yakin keputusan hari ini disambut baik oleh banyak pihak termasuklah rakyat Perak yang sudah letih menyaksikan drama pergolakan politik yang berlaku selama ini," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment