Saturday, May 23, 2009

Peguam kemuka rayuan Isnin

Peguam kemuka rayuan Isnin

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 22 Mei - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan kedudukan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar.

Peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, rayuan berhubung keputusan itu akan dibuat seawal-awalnya Isnin ini.

''Kita akan membuat rayuan," katanya ringkas kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Md. Raus Shariff petang ini memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry sebelum itu merayu terhadap perintah Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu yang mengesahkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman pemimpin itu.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyuarakan rasa terkejut dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

''Sudah tentunya kita akan melakukan rayuan di Mahkamah Persekutuan, tetapi apa yang penting ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan supaya rakyat diberi peluang untuk memilih kerajaan," katanya.

Mengulas perkara sama, peguam Zambry, Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, Mohammad Nizar akan berhadapan dengan cabaran dalam permohonan rayuan kerana hakim-hakim Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar yang sah.

''(Mohammad) Nizar perlu mengemukakan asas yang kukuh sebelum dibenarkan untuk membuat permohonannya," katanya.

Ditanya sama ada kemenangan Zambry akan memulakan krisis baru di Perak, Mohd. Hafarizam berkata, keadaan itu tidak berlaku kerana Zambry hanya meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.

''Datuk Seri Zambry tidak perlu menjalankan semula tugas sebagai Menteri Besar kerana dia memang sedang menjalankan tugas itu," katanya.

No comments: