‘Tindakan Sultan berasas’
PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar menunjukkan tindakan Sultan Perak, Sultan Azlah Shah melantiknya ke jawatan itu adalah berasaskan undang-undang.
Penasihat Undang-undang Umno yang bertindak peguam pemerhati, Datuk Mohd Hafirizam Harun, berkata apa saja yang diperkatakan sebelum ini kononnya pelantikan Zambry tidak sah, kini menjadi akademik.
"Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan, kini jelaslah apa yang dilakukan Sultan Perak melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang baru adalah berasaskan undang-undang," katanya semalam.
Mohd Hafirizam berkata, Barisan Nasional (BN) menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai mercu tanda kerana kedudukan Malaysia adalah sama di negara Komanwel lain di mana hak melantik Ketua Menteri atau Perdana Menteri adalah kuasa dan hak mutlak Raja atau permaisuri.
"Dengan ini saya berharap perlembagaan negeri Perak dipulihkan dan tidak ada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.
Beliau berkata, Zambry akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar selepas mula memegang jawatan itu pada 6 Februari lalu.
Mengenai kemungkinan Mohammad Nizar membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, beliau berkata pihaknya bersedia menentang bekas Menteri Besar itu di mahkamah.
Bagaimanapun, Mohd Hafirizam berkata, bukan mudah bagi Mohammad Nizar untuk mengemukakan rayuan memandangkan keputusan semalam adalah sebulat suara.
Selain itu, wakil BN yang hadir dalam mahkamah, Datuk T Murugiah berkata, keputusan mahkamah itu petanda baik untuk BN di Perak dan membolehkan kerajaan negeri berfungsi.
"Kita terima semua keputusan mahkamah dan ini pasti menjadi suntikan baru kepada Dr Zambry untuk memimpin Perak tanpa masalah,” katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment