Saturday, May 23, 2009

‘Wajar tanding di Manik Urai’

‘Wajar tanding di Manik Urai’

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) wajar meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan kerana kekosongan kerusi itu bukan berpunca daripada permainan politik pembangkang.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata beliau secara peribadi mahu BN meletakkan calon kerana ia disebabkan penyandang kerusi itu meninggal dunia yang memerlukan wakil rakyat baru dipilih.

"Saya akan mencadangkan kepada pemimpin Umno dan BN supaya parti meletakkan calon untuk bertanding di kerusi DUN itu kerana ia bukan faktor permainan politik parti pembangkang.

"Kekosongan kerusi itu adalah disebabkan kematian dan BN perlu bertanding," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Penerangan Umno Bahagian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada BN akan bertanding pada pilihan raya kecil itu berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manik Urai dari Pas, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan jam 5.55 pagi semalam kerana sakit jantung.

Manik Urai terletak di kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut mempunyai tiga lagi DUN, iaitu Dabung, Guchil dan Mengkabang.

Ahmad berkata, situasi di Manik Urai berbeza dengan di DUN Penanti, Pulau Pinang kerana penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan atas alasan mahu melanjutkan pelajaran.

BN memutuskan tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Penanti yang akan diadakan pada 31 Mei ini.





BN wajar tanding di Manek Urai


Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 22 Mei - Barisan Nasional (BN) wajar bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan kerana kerusi berkenaan kosong ekoran kematian wakil rakyatnya dan bukannya disebabkan faktor rekaan pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, faktor pilihan raya kecil yang bakal diadakan itu berbeza dengan DUN Penanti memandangkan ia berlaku atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sehubungan itu, katanya, beliau secara peribadi akan mengesyorkan kepada pucuk kepimpinan parti supaya menyertai pilihan raya tersebut meskipun kawasan berkenaan merupakan kubu kuat Pas.

"Atas jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO, saya secara peribadi akan mencadangkan kepada pemimpin UMNO dan BN supaya bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai kerana ia diadakan atas faktor kematian wakil rakyat dan bukannya faktor rekaan.

"Tetapi kata putus terserah kepada pucuk kepimpinan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketua penerangan bahagian empat peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah di Bangunan Tunku di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ahmad menggesa BN memboikot pilihan raya kecil yang mungkin diadakan lagi pada masa depan jika didapati ia 'diatur' oleh pihak pembangkang dan bukannya disebabkan faktor kematian wakil rakyat atau kerana perintah mahkamah.

Beliau berkata, BN perlu berpolitik mengikut caranya tersendiri dan tidak harus terpedaya dengan perangkap pembangkang yang menjadikan siri pilihan raya kecil sebagai medan membina imej mereka.

Sebelum ini, BN mengumumkan keputusan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Penanti di Pulau Pinang 31 Mei ini selepas kerusi itu kosong apabila penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan atas alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, jentera penerangan UMNO khususnya di Kelantan sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa seandainya BN bertanding pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai.

No comments: