Saturday, May 23, 2009

Azalina lega, bersyukur bebas kes rasuah

Azalina lega, bersyukur bebas kes rasuah

JOHOR BAHRU 22 Mei - Bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said lega bersyukur selepas disahkan tidak terlibat dengan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen Pengerang itu juga berterima kasih kepada SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Said Hamdan kerana menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Said dan kakitangan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana telah menjalankan tugas mereka dengan baik.

"Saya gembira dan bersyukur kepada Ilahi kerana sudah terlepas daripada dugaan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Said semalam bahawa tiada kes rasuah membabitkan bekas Menteri Pelancongan itu.

Ahmad Said pada sidang akhbar di Beaufort, Sabah semalam berkata siasatan SPRM mendapati tiada kes rasuah melibatkan Ahli Parlimen Pengerang itu.

Pada Mac lalu, Azalina disiasat oleh SPRM berhubung kes rasuah melibatkan kementeriannya.

SPRM pada 11 Mac turut menyiasat lapan pegawai kanan Azalina bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Azalina yang juga bekas Ketua Puteri UMNO berkata, sepanjang tempoh siasatan kes itu sejak Mac lalu, beliau menumpukan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat dengan melawat dan bertemu penduduk di kawasannya.

Dengan keputusan itu katanya, beliau kini tidak sabar untuk menghadiri sidang Parlimen pada Jun ini.

No comments: